Kerana tidak puas hati, Tukang servis penapis air dibelasah pelanggan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 8 Second

KUALA LUMPUR – Gara-gara berselisih faham mengenai pemasangan penapis air, seorang tukang servis peralatan berkenaan cedera dibelasah pemilik rumah di Kampung Sungai Sering, Bukit Antarabangsa dekat sini baru-baru ini.

Insiden itu dilaporkan berlaku di rumah suspek di Kampung Sungai Sering, Bukit Antarabangsa di sini pada 23 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, insiden itu dilaporkan berlaku di rumah suspek pada 23 Jun lalu lapor malaysiagazette.

Semasa kejadian kira-kira pukul 5.45 petang, pengadu lelaki tempatan berusia 36 tahun yang merupakan tukang servis penapis air berada di dalam rumah pelanggan iaitu suspek.

Katanya, difahamkan telah berlaku perselisihan faham antara pengadu dengan suspek sebelum suspek menumbuk muka mangsa.

Tumbukan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan luka di bahagian kening dan bahagian mata sebelah kanan.

“Pengadu kemudian telah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Ampang sejurus selepas kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Farouk, bertindak atas maklumat, pada hari yang sama  sepasukan polis telah membuat tangkapan terhadap suspek di rumahnya.

Menurut beliau, suspek merupakan seorang lelaki tempatan berumur 27 tahun dan tidak bekerja.

“Suspek telah dibawa ke Mahkamah Ampang pagi semalam dan ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan lanjut polis,” kata Mohamad Farouk.

Kes sedang disiasat polis di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun jika disabitkan kesalahannya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *