HomeIsu tempatanPemerkasaan fungsi koperasi jadi peneraju serta platform khusus bantu pengguna

Pemerkasaan fungsi koperasi jadi peneraju serta platform khusus bantu pengguna

Read Time:3 Minute, 37 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Isu berkaitan dengan minyak masak yang semakin kurang di pasaran dan kawalan secara ketat untuk penjualan serta edaran bekalan minyak masak, koperasi boleh menjadi peneraju serta platform khusus untuk membantu pengguna amnya dan ahli koperasi khasnya dalam mendapatkan bekalan minyak masak.

Perkara itu disuarakan oleh Pensyarah Kanan/ Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Syahruddin Ag Ahmad.

Syahruddin berkata, secara prinsip koperasi berfungsi menjaga kepentingan ahli-ahlinya menerusi usaha berterusan bagi menambah nilai wang yang dilaburkan baik menerusi yuran keahlian, pinjaman yang disediakan oleh koperasi berkenaan ataupun program yang ditawarkan kepada ahli untuk ikut serta.

“Justeru, dengan mengambil contoh berkenaan isu minyak masak, program koperasi sebagai pembekal berpusat kepada ahli koperasi yang memerlukan minyak masak adalah tepat pada masa nya kerana kini kerajaan dalam rangka menamatkan pemberian subsidi minyak masak. Kesan serta merta kepada situasi ini adalah, para pengguna berdepan dengan kemungkinan harga lebih tinggi berbanding harga minyak masak semasa subsidi masih dikuatkuasakan.

“Mekanisme penjualan minyak masak menerusi keahlian sesebuah koperasi sudah tentu dapat meminimumkan kos dan dalam masa yang sama dapat memperkasakan fungsi koperasi dalam situasi ekonomi yang gawat. Kawalan bekalan dan dalam masa yang sama pembekalan secara berstruktur ini sudah tentu dapat membantu ahli-ahli masyarakat mengenalpasti sumber bekalan minyak masak sekaligus berganding bahu untuk mengekalkan momentum bekalan secara berterusan dan terkawal,” katanya semasa dihubungi pemberita Sabah Media baru-baru ini.

Beliau menambah, prasyarat kepada jualan menerusi keahlian koperasi ini adalah pembeli mestilah menjadi ahli koperasi yang berkenaan dan dilarang menjual semula minyak masak yang dibeli menerusi koperasi; harga minyak masak adalah statik tetapi kos membeli dari pembekal oleh koperasi diserap daripada yuran ahli; kuota pembelian adalah tetap dan dimaklumkan kepada semua ahli; kekerapan pembelian ditentukan agar semua ahli mendapat minyak masak mengikut tempoh berpatutan, dan; notis pemberitahuan juga seharusnya dikeluarkan lebih awal untuk sebarang pindaan arahan serta pemakluman berkaitan bekalan minyak masak semasa di negeri ini.

Menurut Syahruddin lagi, sekiranya pihak kerajaan menerusi kementerian berkaitan pengguna memberikan mandat kepada semua 1,652 koperasi aktif di negeri Sabah untuk menjalankan fungsi pembekalan minyak masak kepada seramai 339, 312 ahlinya, maka, sudah tentu pengguna tidak akan terputus bekalan minyak masak. Bagaimanapun, bukan hanya minyak masak sahaja tetapi juga barangan keperluan lain dipasarkan menerusi program koperasi ini.

“Implikasi terbesar kepada kaedah pembekalan menerusi koperasi ini adalah, setiap ahli masyarakat akan melihat dan mula menyedari kepentingan koperasi kepada mereka. Secara tidak langsung, masyarakat akan meyakini peranan koperasi terutama dalam hal ehwal kebajikan kepada masyarakat khususnya dalam aspek sosio ekonomi mereka,”jelasnya.

Sehubungan dengan itu, beliau turut menyuarakan pandangan mengenai manfaat dan akibat penarikan serta pembatalan subsidi beberapa barangan keperluan.

Katanya, pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 pada Mac lalu memberi gambaran tentang keputusan kerajaan ke arah pembatalan dan penarikan subsidi seringkali dianggap oleh rakyat sebagai satu tindakan tidak wajar kerana subsidi selama ini dilihat sebagai satu elemen bantuan secara tidak langsung oleh kerajaan kepada rakyat.

Hasil pemerhatian beliau bahawa subsidi yang dikenakan ke atas barangan kawalan seperti minyak bahanapi, minyak masak, ayam, telur, tepung dan seumpamanya adalah petanda bahawa kerajaan mahu memastikan rakyat memperoleh harga barangan pada kadar berpatutan pada satu-satu tempoh subsidi berkenaan dikuatkuasakan.

Namun demikian, katanya, dalam situasi di mana ekonomi berada di bawah paras bottom line daripada semua aspek, subsidi yang ditarik balik oleh kerajaan sepatutnya dilihat sebagai usaha pihak kerajaan untuk memindahkan bentuk kemudahan dan bantuan kepada satu konteks dan tujuan yang lain.

“Pengurangan subsidi adalah pilihan yang agak tidak radikal kepada rakyat selaku pengguna tetapi pembatalan subsidi adalah lebih kritikal kerana ia melibatkan rutin pembelian dan perancangan kewangan rakyat terutama untuk barangan kawalan.

“Di pihak kerajaan, nilai atau amaun subsidi tersebut sebenarnya digunakan untuk menampung kos operasi dan mengekang inflasi dalam cara dan dengan pendekatan yang berbeza daripada subsidi tetapi manfaat nya tetap kepada rakyat secara menyeluruh.

“Ini kerana, bantuan kewangan baik yang bersifat pemberian tunai mahu pun subsidi adalah tanggungjawab kerajaan ketika negara berhadapan dengan krisis ekonomi dan situasi bekalan bahan atau barangan kawalan adalah kurang, maka, rakyat akan dapat melihat terdapat saluran serta manfaat lain daripada pembatalan atau penarikan subsidi ini. Kemungkinan amaun subsidi tadi digunakan untuk penambahan stok bekalan, penambahan nilai kepada volume bekalan dan seumpamanya,” katanya.

RELATED ARTICLES
Pendapat

Belanjawan Negeri Sabah 2025 “Somo Kerso”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular