Niat hanya untuk hadir konvokesyen, terkejut terima anugerah BEM

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 43 Second

KOTA KINABALU : Niat mulanya hanya untuk menghadiri Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-23, namun terkejut apabila diumumkan menjadi antara penerima Anugerah Lembaga Jurutera Malaysia (BEM).

Penerima anugerah, Fong Seng Yau,25, yang mengikuti pengajian dalam program Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di Fakulti Kejuruteraan UMS mengakui amat terkejut dengan penganugerahan tersebut.

“Terkejut, kerana pada mulanya saya datang ke sini (UMS) hanya untuk menghadiri majlis konvokesyen. Tidak terlintas pun untuk memperoleh anugerah ini.

“Namun apabila sampai ke sini, barulah saya dimaklumkan bahawa saya menjadi antara penerima anugerah BEM, sememangnya ini satu kejutan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Majlis penyerahan anugerah BEM disempurnakan Pro Canselor UMS Tan Sri Azman Hashim.

Hadir sama pada majlis penyerahan anugerah itu, Naib Canselor UMS Profesor Datuk ChM Ts Dr Taufiq Yap Yun Hin dan Dekan Fakulti Kejuruteraan UMS Prof madya Ts Dr Ismail Saad.

Fong yang memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.88 berkata, minatnya kepada bidang kejuteraan sejak kecil lagi membuatkan dirinya memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Elektrik dan Elektronik.

“Sejak kecil lagi saya minat subjek sains,suka pegang peralatan elektrik.  Bila di sekolah menengah saya minat subjek Fizik dan selepas tamat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), saya cuba masuk belajar dalam bidang Elektrik dan Elektronik ini,” katanya.

Selain Fong, turut menerima penganugerahan BEM ialah Gong Wang Siang (Kejuruteraan Awam); Gan Siew Cu (Kejuruteraan Kimia); Lee Wai Li (Kejuruteraan Mekanikal) dan Abraham Ninian Ejin (Kejuruteraan Elektronik Komputer).

Anugerah BEM mula dianugerahkan pada tahun 2018 bagi memberi penghargaan kepada pelajar yang cemerlang dari segi akademik dan sahsiah dalam bidang kejuruteraan bagi setiap program di Fakulti Kejuruteraan UMS.

Anugerah akademik ini merupakan usaha bersama melalui MOU yang telah ditandatangani antara pihak BEM dan Fakulti Kejuruteraan UMS melalui program-program kejuruteraan yang ditawarkan untuk menggalakkan kecemerlangan akademik melalui pengiktirafan pelajar-pelajar yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam bidang kejuruteraan masing-masing.

Pihak BEM memberikan sejumlah RM10,000 bagi tempoh lima tahun bermula pada tahun 2018.

Setiap tahun sebanyak RM2000 diagihkan untuk lima program dan setiap pelajar yang dipilih akan menerima wang tunai sebanyak RM400.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *