Daftar segera syarikat pelancongan, elak perkara tidak diingini – Jafry

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 25 Second

SEMPORNA : Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) mahu semua pengusaha pelancongan di daerah ini mendaftarkan syarikat mereka bagi mengelakkan masalah pada masa depan.

Menterinya Datuk Jafry Arifin berkata, sekurang-kurangnya 41 syarikat lagi yang masih gagal mengemukakan permohonan lesen. 

“Daftarkan segera untuk mengelakkan perkara tidak diingini berlaku dan jangan mendatangkan risiko kepada pelancong dengan menggunakan perkhidmatan pelancongan yang tidak berlesen.

“Sekiranya terjadi kemalangan terutama di laut, seperti bot karam ia bukan saja akan memberi kesan kepada pelancong malah pihak berkuasa juga menghadapi masalah  ekoran tiada rekod maklumat pengusaha, bot, serta pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu lawatan kerja di daerah itu bermula semalam.

Jafry berkata, hasrat Kementeriannya adalah untuk memastikan pelancong dilindungi dan mendapatkan khidmat pelancongan yang telus.

“Saya yakin dan percaya, kejayaan atau kegagalan sesebuah destinasi pelancongan bergantung kepada kebolehan kita dalam menyediakan persekitaran selamat dan terjamin kepada pelancong,” katanya.

Dalam pada itu, satu sesi libat urus kementerian bersama pengusaha pelancongan Semporna turut diadakan untuk tujuan mengetahui perkembangan pelancongan sekaligus mengenalpasti masalah-masalah yang mereka hadapi.

Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Sr Mohd Yusrie Abdullah, dan Pegawai Daerah Semporna, Juraimin Jadil.

Sementara itu, berhubung dengan permasalahan yang disuarakan oleh pengusaha pelancongan di jeti pelancongan Semporna, yang terpaksa menunggu lama untuk pemeriksaan sebelum pelepasan ke pulau akan segera ditangani.

Jafry mencadangkan agar satu usaha bersepadu dilaksanakan diantara Majlis Daerah Semporna, pihak berkuasa, dan pengusaha pelancongan untuk memastikan perjalanan yang selamat, iaitu lulus dari segi spesifikasi undang-undang dan perjalanan lancar mengikut masa yang ditetapkan.

“Kita ada peraturan dan undang-undang yang perlu dipatuhi, oleh itu dengan tindakan bersepadu dan kerjasama daripada semua pihak berkepentingan, saya yakin semua permasalahan pasti dapat diselesaikan,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *