Manfaat media sosial suburkan muafakat

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 27 Second

PAPAR: Masyarakat perlu terus bijak dan memanfaatkan penggunaan media sosial sebaiknya bagi menyuburkan permuafakatan dalam kalangan Keluarga Malaysia.

Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Mohamad Alamin berkata, pengguna media sosial juga perlu bijak menapis setiap maklumat yang diterima sebelum dikongsikan kepada umum.

“Kita nasihatkan masyarakat supaya lebih bertanggungjawab dan sentiasa menapis setiap berita yang disajikan khususnya di media sosial.

“Masyarakat juga harus bijak menggunakan media sosial, jangan sampai menggunakannya untuk menabur kebencian dan menyebar maklumat berbaur fitnah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Showcase Infiesta Pentarama di Tapak Tamu Bongawan di sini kelmarin.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kimanis berkata, masyarakat diingatkan untuk sentiasa menggunakan media sosial sebagai platform bagi memupuk semangat persaudaraan, silaturrahim dan permuafakatan.

Mengulas lanjut mengenai program berkenaan, Mohamad mahu program serta aktiviti yang memupuk permuafakatan berkonsepkan Keluarga Malaysia diperbanyakkan.

“Sejak dahulu, kita maklum bahawa Jabatan Penerangan adalah lidah kerajaan yang turun ke ceruk kampung untuk menyalurkan maklumat berkaitan dasar serta program kerajaan kepada rakyat.

“Program sebegini penting untuk memupuk permuafakatan dalam kehidupan kita seharian berkonsepkan Keluarga Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Penerangan Sabah, Nadzerah Abdullah berkata, program kali kedua itu mendapat sambutan luar biasa dan berharap masyarakat terus memberi sokongan di tiga lagi destinasi showcase.

“Program ini berbentuk persembahan nyanyian dan hiburan bermaklumat yang dirancang sedemikian rupa untuk menyampaikan mesej mengenai dasar-dasar kerajaan kepada masyarakat.

“Pada tahun ini, kita sasarkan lima kali penganjuran showcasedanselepas ini, kita akan berada di Tawau pada 3 Julai depan,” katanya.

Program Showcase Infiesta Pentarama menampilkan persembahan memukau daripada beberapa penyanyi antaranya, Finalis dan Persembahan Terbaik Carta Lagu Artis Sabah (CLAS) 2020, Nurain Asyikin Ibrahim, Afiezal Fahmi Inggu dan Dayang Nurazreen Salbador yang diiringi muzik mantap oleh Kumpulan Kidz.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *