HomeUtamaManfaat teknologi digital bagi promosi, pasarkan produk

Manfaat teknologi digital bagi promosi, pasarkan produk

Read Time:1 Minute, 51 Second

BEAUFORT :   Para usahawan khususnya golongan wanita disaran untuk memanfaatkan sepenuhnya teknologi digital bagi mempromosi dan memasarkan produk masing-masing. 

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat,  Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, untuk tujuan itu pihaknya telah menyediakan fasiliti kemudahan pusat internet di Pusat Wanita Sabah Daerah Beaufort.

Katanya, pusat itu membolehkan golongan terbabit memasarkan produk sekaligus meninggikan hasil pendapatan perniagaan mereka.

“Selaras dengan perkembangan teknologi dan juga landskap perniagaan yang rata-rata bertunjangkan penggunaan digital, kita akan membangunkan pusat teknologi digital di dalam premis ini supaya dapat membantu usahawan wanita memasarkan produk-produk mereka.

“Dengan teknologi digital, capaian pemasaran akan lebih jauh lagi tanpa menunggu para pelancong atau orang luar untuk membeli produk-produk ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pusat Wanita Sabah Daerah Beaufort di sini semalam.

Shahelmey berkata, pihaknya menyeru semua usahawan wanita agar bijak memanfaatkan sepenuhnya peluang serta kemudahan yang disediakan kerajaan bagi meningkatkan jualan dan tahap ekonomi mereka.

Mengenai Pusat Wanita Sabah Daerah Beaufort, Shahelmey berharap pusat berkenan dapat menjalankan fungsinya untuk memperjuangkan hak-hak wanita selaras dengan Dasar Wanita Negara.

“Bangunan ini akan memusatkan aktiviti-aktiviti berkaitan keusahawanan wanita seperti ekonomi, sosial, pentadbiran, latihan dan sebagainya.  

“Ia merupakan pusat yang pertama di luar Kota Kinabalu dan lokasi ini dipilih kerana Beaufort adalah pusat bagi lima daerah yang berdekatan seperti Sipitang, Kuala Penyu dan Daerah Kecil Menumbok dan Membakut,” katanya.

Dalam usaha menyediakan persekitaran yang kondusif untuk pengguna dan pengunjung, beliau turut memohon kerjasama kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (Jhewa), Pejabat Daerah dan Jabatan Kerja Raya Sabah untuk menaik taraf jalan masuk ke premis berkenaan. 

Sementara itu, Pengarah Jhewa Sabah, Haslina Ismail memaklumkan bangunan kedua di bawah seliaan jabatannya itu turut dilengkapi beberapa fasiliti seperti pusat spa, cafe dan kiosk pameran dengan kerjasama lima persatuan wanita yang aktif dan berdaftar.

Katanya, bangunan yang sebelum ini dikenali sebagai Hub Usahawan Wanita telah dibina pada 25 Februari 2011 dan siap pada penghujung tahun 2021 setelah mengalami beberapa masalah teknikal.

Pada majlis tersebut, Shahelmey menyampaikan Sijil Kursus Kemahiran Ibu Tunggal kepada para peserta kursus serta Sijil Labelling Usahawan masing-masing kepada Pengusaha Produk Maruku, Armag Faridah Ahmada dan Pengusaha Produk Minyak Kelapa Tulen, Monica Damong.

RELATED ARTICLES
EkonomiUtama

Capital A Hantar Pelan Pemulihan kepada Bursa Malaysia untuk Keluar dari...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular