KPDNHEP Sandakan jalin kerjasama agensi penguatkuasaan, banteras aktiviti penyelewengan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 23 Second

SANDAKAN : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Sandakan akan menjalin kerjasama erat dengan agensi penguatkuasaan yang lain khususnya di daerah ini dalam usaha membanteras penyelewengan barang kawalan termasuk minyak masak bersubsidi.

Ketua Cawangan KPDNHEP Cawangan Sandakan Azdy Zukkry John berkata, ia termasuklah akan bekerjasama dengan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 20 dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Azdy (tiga Kanan) bersama anggota PGA BN 20

“Pada hari ini (semalam) kita telah mengadakan beberapa kunjungan hormat kedua agensi penguatkuasaan iaitu di Maritim Malaysia Cawangan Sandakan dan juga PGA Batalion 20.

“Sudah pasti antara lain kita dipihak KPDNHEP Cawangan Sandakan berhasrat untuk mengeratkan lagi hubungan strategik diantara agensi penguatkuasaan yang ada di daerah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah Maritim Sandakan Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki dan Pegawai Pemerintah PGA Batalion 20 Asisten Komisioner Polis (ACP) Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa.

Azdy berkata, selain berhasrat untuk mengeratkan hubungan strategik, pihaknya juga berhasrat mahu berkongsi maklumat risikan selain ingin mengadakan sesi percambahan ilmu penguatkuasaan termasuklah teknik tangkapan dan risikan.

Selain itu katanya, pihaknya juga bercadang untuk mengadakan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain dalam memastikan aktiviti penyelewengan barangan kawalan dapat dibanteras.

“Kita juga mencadangkan untuk mengadakan operasi bersepadu bersama dan perkara ini dipersetujui oleh kedua pihak iaitu Maritim Malaysia dan PGA BN 20.

“Dalam pada itu, pihak Maritim Malaysia dan PGA BN 20 turut bersetuju untuk menggunakan aset mereka bagi tujuan pemantauan pos-pos kawalan serta pemeriksaan sekitar pulau di Sandakan,”katanya.

Sementara itu, dalam kunjung hormat itu, Azdy berkata, pihaknya turut bercadang untuk mengadakan sesi perbincangan lanjut berhubung Isu-isu penyelewengan barang kawalan dan langkah mengatasi aktiviti tidak bertanggungjawab.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *