Maritim Malaysia sekali lagi gagalkan cubaan seludup keluar minyak masak bersubsidi

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 10 Second

SEMPORNA : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia)sekali lagi menggagalkan cubaan menyeludup keluar 340 paket minyak masak bersubsidi di perairan Semporna sekitar jam 9.30 pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, rampasan itu dibuat berikutan pengesanan oleh bot peronda Maritim Malaysia terhadap sebuah bot pam tanpa nombor pendaftaran yang bergerak dalam keadaan mencurigakan di lokasi sekitar 0.5 batu nautika utara Pulau Kulapuan.

“Semasa dirapati, tekong bot telah bertindak mengemudi bot ke kawasan lebih cetek dan terjun melarikan diri ke daratan berhampiran.

“Pemeriksaan ke atas bot menemui lebih kurang 340 paket minyak masak dipercayai cuba diseludup ke negara jiran,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Norrimi berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk bot, dua unit enjin pam dan 340 paket minyak masak adalah bernilai lebih kurang RM5,350.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana cubaan menyeludup keluar minyak masak bersubsidi.

“Siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengesan pemilik bot serta dalang di sebalik kegiatan ini.

“Zon Maritim Semporna akan terus memperkasakan rondaan dan penguatkuasaan di sekitar kawasan ‘hot spot’ terutamanya sekitar sempadan perairan negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan kemasukan PATI ke negeri Sabah melalui jalan laut,” katanya.

Katanya, Maritim Malaysia menyeru kepada mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan atau lain-lain kegiatan jenayah maritim untuk menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *