Cadangan harga siling ayam dibawa ke kabinet rabu ini – Ronald Kiandee

Read Time:1 Minute, 22 Second

CYBERJAYA — Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara akan membentangkan cadangan penetapan harga siling ayam yang baharu serta kadar subsidi kepada penternak dalam Mesyuarat Kabinet pada Rabu ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, penetapan harga baharu itu akan diumumkan sebaik selesai mesyuarat tersebut.

Ujarnya, cadangan yang akan dibentangkan itu hasil daripada pertimbangan yang dibuat dalam mesyuarat yang berlangsung pada Isnin yang turut disertai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato Sri Alexander Nanta Linggi dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

“Harga kawalan baharu ini mengambil kira kepentingan penternak, pemborong dan peruncit bagi memastikan harga yang ditetapkan adalah munasabah bagi semua pihak. 

Bantuan tunai tambahan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri juga telah diambil kira.

“Mesyuarat juga mengambil maklum mengenai status semasa bekalan makanan negara serta status harga barangan terpilih serta pelaksanaan intervensi pengukuhan sekuriti makanan negara. 

Bekalan ayam diunjur kekal stabil dan mencukupi pada minggu keempat bulan Jun 2022. Bekalan komoditi lain diunjur kekal stabil dan mencukupi menampung permintaan bulan semasa,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasminya malam ini. 

Tambahnya, dalam mesyuarat itu juga, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut memaklumkan status terkini barangan harga terpilih dan tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadap premis yang didapati tidak mematuhi pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum bagi Ayam dan Telur.

“Usaha sama rentas Kementerian akan diteruskan untuk meminimumkan impak beban kos sara hidup rakyat. 

Kerajaan komited meneruskan usaha bagi memastikan kelangsungan dan kebolehcapaian bekalan makanan di pasaran dengan harga yang berpatutan demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.