MTCC taja Anugerah Freezailah UMS kali kelima

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 53 Second

KOTA KINABALU : Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) buat kali kelima menaja pemberian Anugerah Kelestarian Hutan Freezailah kepada Graduan Fakulti Perhutanan Tropika (FPT), Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Anugerah berkenaan diberikan kepada graduan cemerlang FPT UMS sempena Majlis Konvokesyen UMS kali ke-23 yang diadakan selama tiga hari berakhir hari ini.

Penajaan anugerah berkenaan diberikan kepada graduan program Perladangan Hutan dan Perhutani, Hiew Suet Enn,25.

Ia adalah atas kecemerlangan akademik dan tesis bertajuk ‘Detection Rate And Activity Pattern Of Tembadau (Bos Javanicus Low) In Salt Lick And Non Salt Lick Areas At Segaliud Lokan Forest Reserve, Sandakan, Sabah’.

Dengan penganugerahan tersebut, Suet Enn yang juga penerima Kelas Satu dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.81 membawa pulang hadiah wang sebanyak RM2,000.

Penyampaian anugerah disampaikan Ahli Pemegang Saham MTCC, Datuk Zainie Abdul Aucasa pada Majlis Penyampaian Freezailah Forest Sustainability Award 2021 selepas sidang tiga, Majlis Konvokesyen UMS kali ke-23 di sini semalam.

Zainie berkata, Suet Enn dipilih daripada tiga pencalonan yang menampilkan projek-projek akhir tahun berkaitan pengurusan hutan mampan, pensijilan hutan, pengurusan sumber semula jadi, penilaian impak alam serta penggunaan produk kayu dan hasil hutan bukan kayu. 

“Selain mempunyai kualiti yang tersendiri, kami harap agar data asas yang diperolehi daripada kajian Suet Enn sedikit sebanyak dapat membantu Unit Pengurusan Hutan Simpan Segaliud Lokan untuk terus memenuhi keperluan standard Kriteria dan Petunjuk Malaysia untuk Pengurusan Hutan Mampan.

“Besarlah harapan kami agar anugerah ini dapat memberikan inspirasi kepada graduan-graduan yang layak seperti beliau untuk menyumbangkan idea yang bernas, pengetahuan dan kemahiran mereka dalam karier mereka kelak bagi memastikan kelestarian sumber-sumber semula jadi terutamanya hutan di Malaysia,” katanya.

Sementara Suet Enn ketika ditemui berkata, kajian yang dilakukan adalah mengenai Tembadau yang merupakan sejenis lembu liar yang hampir pupus di Kepulauan Borneo terutamanya di Sabah.

“Saya melakukan kajian ini di Unit Pengurusan Hutan  Simpan Segaliud Lokan kerana lokasi ini dihuni oleh Tembadau dan ia sering dilihat berada di hutan ini,” katanya.

Katanya yang turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada Pensyarah Kanan, Program Perladangan Hutan dan Perhutani, FPT, Dr. Jephte Sompud selaku penyelia tesis.

Untuk rekod, Anugerah Kelestarian Hutan Freezailah mula dianugerahkan pada 2016 bagi menghargai jasa Pengerusi Pengasas Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC), Dato’ Dr Freezailah Che Yeom, yang telah berkhidmat selama 17 tahun.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *