Jose Embalo dijangka buat penampilan pertama malam esok

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 19 Second

KOTA KINABALU: Sabah FC dijangka akan menurunkan penyerang baharunya, Jose Embalo buat kali pertama menentang Selangor FC dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam esok.

Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, bagaimanapun ia bergantung kepada tahap kecergasan Embalo selepas sesi latihan petang tadi.

Katanya, Embalo baharu sahaja tiba lebih kurang tiga atau empat hari lalu dan pelbagai aspek perlu diambil kira sebelum diturunkan pada perlawanan menentang Selangor FC.

“Kita tidak ingin terburu-buru tetapi jika Embalo menunjukkan keyakinan serta memiliki tahap kecergasan tinggi kemungkinan besar beliau boleh diturunkan sebagai kesebelasan utama malam esok.

“Ini kerana Sabah FC harus berwaspada dan berhati-hati kepada kebangkitan Selangor FC meskipun mereka tewas dengan jaringan besar kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan lalu.

“Sudah tentu Selangor akan lebih bersedia untuk mencipta kemenangan lebih-lebih lagi mempunyai kelebihan bermain dilaman sendiri,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kim Swee berkata, Sabah FC perlu kekal fokus bagi memastikan mereka dapat memberikan saingan sengit sekaligus membawa pulang tiga mata.

“Saya tidak nampak kekalahan Selangor kepada JDT pada perlawanan lalu  merupakan satu kelebihan kepada Sabah FC, malah kita cuba membuat percaturan yang terbaik untuk mencapai keputusan memberangsangkan malam esok,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai status pemain kebangsaan Indonesia, Saddil Ramdani, Kim Swee berkata, Saddil kini sudah seminggu menjalani latihan bersama Sabah FC.

Menurutnya, Saddil menunjukkan komitmen tinggi semasa latihan sekaligus bersedia untuk diturunkan dalam perlawanan malam esok.

“Saddil merupakan salah satu pemain utama kita namun kesebelasan terbaik The Rhinos hanya akan diumumkan sebelum sepak mula pada hari perlawanan nanti,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *