Kerjasama bendung gejala rasuah sebelum merebak, merosakkan imej perkhidmatan awam

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 25 Second

KOTA KINABALU : Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah mahu semua kakitangan disemua peringkat termasuk di Pejabat Daerah agar tidak terlibat dengan sebarang perlakuan rasuah dan salah guna kuasa.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim berkata, para kakitangan juga perlu saling ingat mengingati antara satu sama lain sekiranya terdapat kesilapan dan kesalahan yang dilakukan di tempat kerja.

“Sekiranya terdapat sebarang perlakuan rasuah dan salah guna kuasa, jangan takut untuk melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Istilah ‘jaga tepi kain orang’ tidak salah diamalkan dalam usaha membendung gejala rasuah daripada merebak dan merosakkan imej perkhidmatan awam. Kita perlu mencegah sebelum  ianya menjadi parah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Minggu Integriti KPLB Sabah dan Pejabat-Pejabat Daerah di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri 1 Harun Durabi.

Jahid berkata, tiga strategi yang digariskan dalam Pelan Antirasuah Organisasi Kementerian dan Pejabat-Pejabat Daerah bagi tempoh lima tahun bermula tahun ini akan diambil serius oleh pihak Kementerian.

“Antaranya adalah dengan memperkukuhkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam; mempertingkatkan keberkesanan dan ketelusan perolehan awam; dan penguatkuasaan undang-undang.

“Pelan Antirasuah kementerian dan pejabat-pejabat daerah adalah bertujuan mengenalpasti misi penting yang akan menyumbang kepada keberkesanan antirasuah, tadbir urus integriti kementerian dan pejabat-pejabat daerah.

“Saya menyeru semua warga Kementerian dan Pejabat Daerah bersama-sama menghayati dan menerapkan integriti di dalam diri agar usaha memastikan segala halatuju, visi dan misi kementerian seterusnya kerajaan dapat dicapai dan dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.

Sementara itu, Jahid turut berharap agar pembudayaan integriti di peringkat Kementerian, Pejabat Daerah dan Pejabat Daerah Kecil tidak hanya terhad semasa Minggu Integriti sahaja.

Malah katanya, ianya hendaklah berterusan dan diamalkan setiap hari hinggalah hari terakhir perkhidmatan sebagai penjawat awam.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *