Bantu tangani isu kenaikan harga barangan-Shahelmey

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 49 Second

KOTA KINABALU : Rakyat di negeri ini diminta untuk terus menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pihak berkuasa bagi mengekang senario kenaikan harga barangan di luar kawalan secara berleluasa.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, orang ramai turut dinasihatkan untuk menggunakan hak sebagai pengguna dengan membuat aduan atau laporan sekiranya terdapat aktiviti berkenaan.

Katanya, ini sekaligus dapat mengawal dan menyekat sebarang usaha daripada pihak berkaitan yang cuba atau sedang mengambil kesempatan dalam situasi terkini, melibatkan senario kenaikan harga barangan.

Tambahnya, laporan terus kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) boleh dilakukan untuk tindakan seperti pemeriksaan atau penguatkuasaan segera dapat dilakukan.

“Kita berharap supaya pengguna dapat menjalankan tanggungjawab mereka sebagai rakyat prihatin dan bertanggungjawab dalam membantu kerajaan dengan melapor kepada pihak berkuasa (KPDNHEP).

“Ia mengenai isu sekiranya ada terdapat kekurangan bahan keperluan harian atau ketidakpatuhan harga sebagaimana ditetapkan oleh kerajaan.

“Lapor kepada KPDNHEP jika ada kesalahan seperti barang keperluan di jual dengan harga melebihi harga kawalan atau sebagainya, supaya penguatkuasaan segera dilakukan untuk membendung perkara tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui dalam rancangan bual bicara Kami Bah Ini kelolaan RTM TV1 Sabah, di Kompleks Bersepadu KKMM, Kota Kinabalu, di sini hari ini.

Menerusi rancangan berkenaan, beliau turut berkesempatan berkongsi perbincangan topik terhadap perkembangan semasa terutamanya mengenai usaha progresif kerajaan mengawal kadar kenaikan barang untuk mengurangkan beban rakyat di negeri ini.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Shahelmey berkata, kerajaan kini sedang menjalankan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang merupakan salah satu inisiatif meringkan beban dan peningkatan kos sara hidup.

“Sebelum ini PJKM dilakukan dua kali sebulan di setiap kawasan Parlimen, namun bermula bulan ini, PJKM dilaksanakan setiap bulan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Ia memberi peluang kepada pengguna kita untuk membeli barangan keperluan harian mereka pada harga yang lebih murah dan juga kompetitif,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang diumumkan Perdana Menteri pada Rabu lalu, Shahelmey berkata, beliau menyambut baik penubuhan pasukan tersebut.

“Saya amat mengalu-alukan penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi ini.  Ianya agar tidak ada penyalahgunaan atau unsur-unsur mengambil kesempatan dalam situasi kenaikan harga barang yang sedang kita hadapi pada masa ini,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *