HomeIsu tempatanPensiangan lokasi pertama pelaksanaan BLKM, 396 penduduk terima manfaat

Pensiangan lokasi pertama pelaksanaan BLKM, 396 penduduk terima manfaat

Read Time:1 Minute, 43 Second

NABAWAN : Seramai 396 penduduk sekitar Sook dan Nabawan terpilih mengikuti program Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia (BLKM) yang dilaksanakan menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, mereka yang berusia antara 16 hingga 60 tahun itu juga akan mendapat lesen memandu motosikal di samping memperolehi maklumat berkenaan dengan peraturan jalan raya.

“Pemilikan lesen kelas B2 ini akan dapat membantu masyarakat B40 di negeri Sabah khususnya para belia di Parlimen Pensiangan untuk memanfaatkan bantuan berkenaan dengan sebaiknya.

“Ini termasuklah mengambil inisiatif mencari atau meningkatkan pendapatan melalui pekerjaan ataupun memulakan perniagaan dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Program Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia Peringkat Parlimen P.182 Pensiangan – Zon 1 Nabawan Bil 1/2022 di sini semalam.

Parlimen Pensiangan telah dipilih menjadi lokasi pertama di negeri Sabah bagi menjayakan program BLKM berkenaan.

Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan turut menyifatkan pemberian bantuan lesen memandu ini adalah selari dengan usaha yang telah dilaksanakan bagi meningkatkan ekonomi penduduk di kawasan ini.

Katanya, antara usaha-usaha yang giat dilaksanakan merangkumi infrastruktur perhubungan darat seperti pembinaan jalan Sapulut ke Salung ke Pagalungan sehingga ke Pensiangan, Jalan Kampung Sinaron ke Kampung Linayukan di Tongod dan juga pembinaan baharu serta menaik taraf menara telekomunikasi bagi memperluaskan akses telekomunikasi di Parlimen ini.

“Saya percaya usaha-usaha bagi meningkatkan ketersambungan perhubungan darat dan jaringan telekomunikasi adalah penting bagi membuka lebih banyak peluang ekonomi untuk penduduk setempat,” katanya.

Sementara itu, Arthur berkata, kadar kemalangan di daerah Keningau yang meningkat sebanyak 20 kes iaitu 98 kes sepanjang tempoh tiga bulan pertama tahun 2022 berbanding 78 kes pada tahun 2021.

Katanya, para penerima BLKM diingatkan agar menjadi contoh untuk menjadi pengguna jalan raya yang berdisiplin dan berhemah dengan mematuhi segala peraturan dan undang-undang jalan raya.

“Pemanduan yang berhemah dan berdisplin akan menyumbang kepada penurunan kadar kemalangan jalan raya di negara.

“Ini adalah sejajar dengan aspirasi Kerajaan mengurangkan jumlah kematian akibat nahas jalan raya sebanyak 50 peratus, menjelang tahun 2030,” katanya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Maritim Malaysia tahan dua bot pukat jerut bilis langgar syarat lesen

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular