Terus kekal rentak kemenangan, fokus perlawanan bertemu JDT

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 40 Second

NEGERI SEMBILAN: Sabah FC perlu terus mengekalkan rentak kemenangan dalam  setiap perlawanan Liga Super bagi memastikan skuad `The Rhinos’ tidak tercicir daripada mengutip mata.

Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, beliau memuji semangat juang dipamerkan anak-anak buahnya sehingga mampu menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) hasil jaringan Park Taesu malam tadi.

Katanya tiada perlawanan mudah dalam Liga Super, semua pemain perlu kekal fokus apabila diturunkan sebagai kesebelasan utama.

“Kita maklum NSFC tidak dibolosi dalam empat perlawanan sebelum ini.  Perlawanan malam tadi bukan satu perlawanan yang mudah bagi mana-mana pasukan.

“Kita harus kekal fokus dan berada dalam tahap terbaik untuk memastikan tidak kehilangan mata sekaligus memberikan satu saingan yang cukup sengit meskipun bermain di tempat lawan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman di sini malam tadi.

Ketika diminta mengulas mengenai pemain import baharu Jose Embalo Kim Swee berkata Embalo masih lagi belum berada pada tahap kecergasan terbaik dan ini terpulang kepada situasi perlawanan sama ada dapat diturunkan atau sebaliknya.

“Jika saya fikir Embalo perlu diturunkan  pada bila bila masa, kemungkinan besar akan saya lakukan.. Tetapi ini terpulang kepada tahap kecergasannya sebelum perlawanan bermula pada malam tadi,” katanya.

Mengulas mengenai perlawanan malam tadi Kim Swee berkata sasaran seperti kebiasaan apabila bermain dengan mana pasukan sekali pun misi kemenangan adalah menjadi keutamaan mereka.

“Kita tetapkan sasaran adalah kemenangan secara realistik. Semua maklum bermain di tempat lawan dengan pasukan berada di tangga kedua adalah terlalu sukar,” katanya.

Sambil memuji prestasi anak-anak buahnya , Kim Swee berkata secara keseluruhan mereka menunjukkan satu prestasi yang cukup baik sehingga mampu menewaskan NSFC.

“Keputusan ini sudah menjadi penebus kekalahan pada saingan pertama Liga Super ketika bermain di Stadium Likas.  Kita tewas di Likas 0-1…Kita  tak boleh mengambil mudah pada setiap perlawanan selepas ini. Mesti perlu kekal konsisten dengan apa yang telah kita lakukan,” katanya.

Sabah FC akan bertemu pendahulu Liga Super iaitu pasukan JDT di Stadium Likas pada 15 Julai ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *