CYBERJAYA — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu beberapa syarikat milik seorang ahli perniagaan bergelar “Datuk Seri” yang terbabit dalam pengambilan pekerja asing dari Bangladesh.
Memetik laporan FMT, serbuan dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, serta syarikat berkenaan terbabit dalam membangunkan satu sistem pengurusan pendaftaran pekerja asing.
Belum ada tangkapan dibuat setakat ini, tetapi sumber tidak menolak kemungkinan beberapa individu akan ditahan bagi membantu siasatan.
Menurut laporan portal itu lagi, mereka tidak mendedahkan nama syarikat terbabit sementara menunggu pengesahan.
Tiada tangkapan dibuat setakat ini, tetapi sumber tidak menolak kemungkinan beberapa individu akan ditahan bagi membantu siasatan.
Sumber itu berkata, Putrajaya pada 2015 bersetuju menggunakan sistem berpusat yang dibangunkan syarikat terbabit dan ini membabitkan memorandum persefahaman (MoU) dengan beberapa negara, termasuk Bangladesh.
Katanya, ahli perniagaan itu dipercayai mengawal majoriti 25 agensi Bangladesh yang baru-baru ini dipilih untuk pengambilan pekerja asing di sana.
“Kebanyakan pekerja asing yang ingin bekerja dikenakan bayaran terlalu tinggi sehingga mencecah puluhan ribu ringgit. Isu ini telah dibangkitkan beberapa NGO dan ahli politik yang tidak puas hati dengan kegiatan monopoli suspek terbabit.
“Dengan hanya mengehadkan 25 syarikat, maka ianya menutup peluang syarikat-syarikat lain untuk berniaga. SPRM telah menerima beberapa aduan rasuah dan penyalahgunaan kuasa daripada beberapa NGO berkaitan.”
Sumber itu berkata, siasatan SPRM akan memfokuskan rasuah serta penyalahgunaan kuasa, dan akan membabitkan dua kementerian terlibat dalam pengambilan pekerja asing.
Terdahulu, The Business Post di Bangladesh melaporkan SPRM menyerbu pejabat salah sebuah syarikat itu dan menahan beberapa pegawai.
Menurut laporan itu, pegawai SPRM ke Suruhanjaya Tinggi Bangladesh semalam untuk menyiasat peranannya dalam pemilihan 25 agensi yang dibenarkan mengambil pekerja asing.
Menteri Sumber Manusia, M Saravanan ketika ditanya sama ada beliau tahu mengenai serbuan itu, katanya, beliau “tidak pasti”.
Dalam lawatan ke Dhaka, Bangladesh baru-baru ini, Saravanan bertembung sekumpulan penunjuk perasaan yang membantah keputusan membenarkan hanya 25 agensi membekalkan pekerja ke Malaysia.
Mereka mendakwa ia akan menyebabkan pekerja terpaksa membelanjakan kira-kira RM18,000 untuk datang ke Malaysia, lebih dua kali ganda daripada jumlah sebenar. Mereka berkata, terdapat lebih 1,300 agensi yang mampu menguruskan pengambilan pekerja untuk Malaysia.
Pada 10 Jun lalu, Saravanan menegaskan keputusan melantik hanya 25 agensi Bangladesh adalah muktamad.