KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bakal memiliki sebuah balai bomba tertinggi di Malaysia yang terletak di Gunung Kinabalu menerusi pembinaannya yang akan bermula Ogos ini.
Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Ts Mohammad Hamdan Wahid berkata, pembinaan balai bomba itu akan dibina di tapak yang di kenal pasti iaitu di Gunting Lagadan Hut Gunung Kinabalu.
Katanya,balai berkenaan akan dijadikan sebagai pusat kebombaan bagi 35 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat di Gunung dan Gua (MOSAR).
“Dengan adanya balai bomba ini nanti, ianya sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan balai bomba di negeri ini adalah sebanyak sembilan buah.
“Anggota MOSAR ini adalah terdiri daripada malim gunung yang telah banyak berjasa membantu pendaki-pendaki yang menghadapi masalah semasa proses pendakian Gunung Kinabalu.
“Pembinaan ini sebagai salah satu langkah bagi memastikan keselesaan bekerja agar mereka dapat melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan dan lebih cekap,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penganugerahan Pangkat Kehormat Jabatan Bomba dan Penyelamat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, di sini semalam.
Hamdan berkata, pembinaan itu juga merangkumi kawasan operasi, ruang latihan serta tempat penyimpanan peralatan yang dijangka akan bermula Ogos ini dan siap pada penghujung tahun ini.
Mengulas mengenai insiden banjir luar jangka yang berlaku di Baling, Kedah baru-baru ini, Hamdan berkata, pihaknya sentiasa bersiapsiaga untuk menghadapi sebarang bencana alam yang mungkin berlaku.
“Antara persiapan yang dilakukan adalah penyediaan aset di barisan hadapan, pemantauan berterusan dan kolaborasi dengan agensi-agensi yang menyalurkan informasi yang berkaitan.
“Selain daripada itu, JBPM turut mengadakan beberapa siri latihan dan seminar kepada orang awam untuk memberikan kesedaran dan pengetahuan berkenaan langkah-langkah untuk menghadapi bencana alam, bantuan yang sesuai dan cara-cara menyelamatkan diri,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Operasi JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat, Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan JBPM, Kamarulzaman Malik Abdullah dan Pengarah JBPM Negeri Sabah, Abdul Razak Muda.