HomeUtamaBakal jemaah haji ditipu diminta buat aduan rasmi kepada MOTAC

Bakal jemaah haji ditipu diminta buat aduan rasmi kepada MOTAC

Read Time:1 Minute, 47 Second

PUTRAJAYA: Bakal jemaah haji yang menjadi mangsa terhadap penipuan Pakej Haji Furada oleh sebuah agensi pelancongan diminta untuk membuat aduan rasmi kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

MOTAC dalam satu kenyataan berkata, aduan rasmi itu boleh dibuat melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), MOTAC di pautan https://motac.spab.gov.my dan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di https://ttpm.kpdnhep.gov.my/portal/home bagi pemulangan wang.

Katanya, dokumen-dokumen yang perlu disertakan dalam SISPAA MOTAC adalah seperti bukti tempahan pakej; bukti pembayaran deposit; bukti pembayaran penuh; terma dan syarat seragam ke luar negara (Jadual Keempat) milik syarikat.

“Selain itu, dokumen lain yang perlu disertakan adalah salinan passport/visa; salinan tiket penerbangan (jika ada); laporan polis dan apa-apa dokumen yang dianggap boleh membantu siasatan di peringkat Kementerian ini.

“Pihak MOTAC juga akan membuat siasatan sewajarnya ke atas syarikat di bawah Seksyen 8(1)(d), Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482] kerana menjalankan perniagaan mengikut cara yang memudaratkan kepentingan orang awam, industri pelancongan atau ekonomi negara, dan sekiranya didapati bersalah, syarikat boleh digantung atau dibatalkan lesen yang diberikan,” menurut kenyataan itu di sini semalam.

Menurut kenyataan itu, MOTAC memandang serius dan prihatin terhadap penipuan Pakej Haji Furada oleh sebuah agensi pelancongan ke atas rakyat Keluarga Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin.

Katanya, berdasarkan semakan Kementerian, agensi pelancongan berkenaan adalah berlesen dengan MOTAC.

“Pasukan penguatkuasaan MOTAC juga telah memantau dan menemubual wakil syarikat di KLIA semalam (kelmarin) dan dimaklumkan sekiranya bakal jemaah tidak mendapat penerbangan seperti yang dijadualkan, wang akan dikembalikan secara berperingkat dan pasport dipulangkan. 

“Sekiranya rakyat Malaysia menjadi mangsa dalam kes tersebut tidak mendapatkan kembali wang seperti yang dijanjikan, mereka adalah dinasihatkan untuk membuat laporan polis di Balai Polis Main Terminal Building (MTB) KLIA atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya.

Kelmarin, seramai 380 bakal jemaah haji terkandas di KLIA di sini selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan apabila menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

Visa furada ialah visa yang diuruskan sendiri dan dilaporkan dikeluarkan oleh Arab Saudi, tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh TH.

RELATED ARTICLES
Utama

Kerajaan Semak Semula Arahan MKN No 20 Untuk Mantapkan Mekanisme Pengurusan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya