HomeUtamaEkonomi Sabah kekal berdaya tahan - Hajiji

Ekonomi Sabah kekal berdaya tahan – Hajiji

Read Time:1 Minute, 29 Second

KOTA KINABALU: Ekonomi Sabah kekal berdaya tahan walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, Kerajaan Negeri sedaya upaya berusaha untuk memulihkan semula ekonomi Sabah menerusi inisiatif yang digariskan dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

Menurutnya, beberapa kejayaan signifikan telah Sabah kecapi, antaranya pada tahun 2021, Kerajaan Negeri berjaya mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM5.449 bilion, iaitu yang tertinggi dalam sejarah.

“Terdapat banyak lagi pencapaian kerajaan yang akan memanfaatkan rakyat Sabah secara keseluruhannya. Dalam soal membangunkan negeri ini, masih banyak yang perlu kita lakukan”, katanya dalam perutusan sempena Hari Raya Aidiladha 1443H/2022.

Hajiji berkata, Aidiladha adalah hari kebesaran yang disambut oleh umat Islam di seluruh dunia dengan penuh keinsafan dan pengertian yang besar.

Katanya, kisah dan sejarah pengorbanan agung Nabi Ibrahim Alaihissalam (AS) dan anakanda Nabi Ismail menjadi iktibar yang perlu sentiasa dihayati oleh seluruh umat Islam dalam menghadapi cabaran kehidupan seharian.

Menurutnya, bagi umat Islam di Sabah, iktibar daripada Aidiladha menjadi panduan dalam menghadapi pelbagai cabaran khususnya dalam aspek ekonomi selepas penularan pandemik COVID-19 sejak lebih dua tahun lalu.

“Justeru, jadikanlah kisah Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail sebagai pedoman untuk kita memahami erti pengorbanan sebenar dalam menghadapi apa juga cabaran. Sesungguhnya, ibrah daripada setiap cabaran dan ujian ini menuntut pengorbanan kita semua untuk bangkit, bermuafakat dan bersemangat.

“Raikanlah Aidiladha bersama ibu bapa dan keluarga secara bersederhana dan sentiasalah menjaga kawalan kendiri. Kepada para jemaah haji Sabah, kita doakan semoga dipermudahkan segala urusan mereka sepanjang menyempurnakan rukun Islam yang kelima.

“Bagi yang akan mengerjakan ibadah korban, tunaikanlah tanggungjawab dengan penuh tawaduk dan ikhlas. Agihkan daging korban kepada mereka yang memerlukan. Semoga melalui ibadah ini akan bertambah kukuh nilai perpaduan dalam kalangan rakyat Sabah”, katanya.

Hajiji bagi pihak Kerajaan Negeri dan seisi keluarga mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidiladha.

RELATED ARTICLES
EkonomiUtama

Capital A Hantar Pelan Pemulihan kepada Bursa Malaysia untuk Keluar dari...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular