Oleh ERDIE AB WAHID
[email protected]
KOTA KINABALU : Seramai 330 orang pelajar dan kakitangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Sabah hadir menjayakan program santai bagi menyaksikan tayangan filem Mat Kilau di salah sebuah pawagam di sini semalam.
Program santai yang dianjurkan UiTM Kampus Sabah itu turut dihadiri Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah Andi Muhammad Suryady Bandy.
Andi berkata, program seumpama itu dapat memberi ruang kepada masyarakat khususnya pelajar dalam mempelajari sejarah tokoh pahlawan negara yang banyak berjasa dalam mempertahankan negara.
“Salah satu tujuan utama program ini adalah kita mahukan pelajar dapat belajar sesuatu melalui filem yang memaparkan salah seorang tokoh sejarah penting bagi negara kita.
“Sudah pasti ianya juga akan dapat memupuk semangat cintakan negara kerana jika kita lihat sebelum ini lebih banyak filem dari luar negara dipaparkan,” katanya ketika ditemui Sabah Media di sini semalam.
Katanya, menerusi program ini, para pelajar juga dapat mengetahui latar belakang sejarah atau kehidupan pahlawan Mat Kilau dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Sementara itu, Timbalan Rektor (Bahagian Hal Ehwal Pelajar) UiTM Kampus Sabah Datin Dr Rafidah @ Malissa Salleh berkata, program melibatkan seramai 260 orang pelajar dan 70 kakitangan itu merupakan inisiatif universiti dalam menyemai semangat patriotisme.
Katanya, filem Mat Kilau turut memaparkan banyak mesej-mesej yang berkaitan patriotisme yang amat sesuai untuk diberi pendedahan kepada pelajar.
“Justeru itu, kita khususnya pihak universiti di bahagian Hal Ehwal Pelajar mengambil peluang seperti ini bagi menyantuni pelajar kita selain memupuk dan menyemai semangat cintakan negara.
“Selalunya pelajar akan dilibatkan dengan program yang serius, jadi kita ambil inisiatif untuk adakan program santai kerana kita tahu pelajar kini merupakan generasi millennium yang lebih gemar kepada program santai.
“Jadi kita buatlah sesuatu yang pelajar suka atau gemar, melalui program itu kita akan lebih mudah untuk menyampaikan mesej kepada mereka,” katanya.