Polis KK tahan 6 pelajar perempuan kes pukul di Inanam

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 18 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Polis telah menahan enam pelajar perempuan dari salah sebuah sekolah di Inanam dan seorang bekas pelajar perempuan dari sekolah yang sama susulan satu rakaman video kes kejadian pukul seorang pelajar perempuan tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Polis (ACP) Mohd Zaidi Abdullah berkata, mereka yang ditahan berumur lingkungan 13 hingga 16 tahun juga seorang perempuan berumur 17 tahun yang merupakan bekas pelajar sekolah tersebut telah ditangkap pada awal pagi Sabtu, 9 Julai 2022 bagi membantu siasatan kes ini.

Katanya, tangkapan ini dibuat berikutan kes seorang pelajar perempuan dipukul di Daerah Kota Kinabalu pada 7 Julai 2022 telah tular menerusi satu rakaman video di aplikasi whatsapp dan facebook yang dikaitkan dengan kejadian seorang perempuan iaitu pelajar salah sebuah sekolah di Inanam telah dipukul oleh beberapa orang pelajar lain.

“Polis Daerah Kota Kinabalu telah menerima laporan polis daripada bapa mangsa tersebut pada 8 Julai 2022 ,” kata ACP Zaidi dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Menurut siasatan lanjut polis mendapati punca pergaduhan adalah disebabkan mangsa sebelum ini dikatakan oleh seorang suspek bahawa mangsa pernah memukul seorang pelajar tingkatan satu di sekolah yang sama pada Jun 2020.

Bagaimanapun, katanya, pihak polis memandang berat kes sebegini dan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk perbuatan membuli atau kekerasan yang melibatkan pelajar sekolah di daerah ini.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang rakaman video yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat sebelum mendapat pengesahan dari pihak penguatkuasa.

Kes disiasat di bawah seksyen 147 kanun keseksaan

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *