PUPUK UMS tawar perkhidmatan kesihatan percuma di Kudat

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 21 Second

KUDAT : Universiti Malaysia Sabah (UMS) menawarkan perkhidmatan kesihatan percuma menerusi Program Perkongsian Universiti Keluarga dalam Kesejahteraan Komuniti (PUPUK) melibatkan seramai 178 pelajar Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK).

Selepas dua tahun tertangguh akibat pandemik COVID-19, program kali ini melibatkan 88 pelajar perubatan sesi 2020/2021 dan 90 pelajar sesi 2021/2022.

Penyerahan dua kumpulan pelajar tersebut kepada 64 keluarga angkat di Kampung Lajong, Kudat disempurnakan  Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMS, Profesor Dr. Rasid Mail, baru-baru ini.

Terdahulu, Rasid ketika berucap merasmikan majlis penyerahan itu memaklumkan, pelajar yang terlibat dengan program berkenaan akan melawat keluarga angkat masing-masing sekurang-kurangnya tiga kali dalam setahun.  

“Aktiviti ini akhirnya akan melibatkan sekurang-kurangnya 15 kali lawatan pelajar sepanjang lima tahun pengajian mereka di UMS. 

“Keluarga angkat bukan sahaja akan menikmati faedah daripada lawatan ini, malah mereka juga boleh menghubungi pelajar-pelajar ini menggunakan medium media sosial seperti aplikasi WhatsApp bagi mendapatkan pandangan mengenai apa jua masalah kesihatan yang dihadapi.  

“Selain itu, keluarga angkat juga layak untuk menerima kemudahan perkhidmatan dan rawatan kesihatan secara percuma di Klinik Komuniti Pusat Pendidikan Perubatan Desa,” katanya pada majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Pusat Pendidikan Perubatan Desa, Sikuati.

Kedua-dua kumpulan pelajar tersebut merupakan kumpulan pelajar ke-17 dan ke-18 sejak Program PUPUK diperkenalkan pada tahun 2006.

Tambah Rasid, program itu juga memberi peluang kepada pelajar perubatan FPSK mempelajari budaya dan adat resam penduduk tempatan, terutamanya para pelajar yang berasal dari luar Sabah.  

“Kita mengharapkan dengan adanya pengetahuan budaya lokal, bakal doktor yang akan dilahirkan oleh UMS ini lebih cakna dan prihatin dalam menyantuni pesakit mereka kelak yang tentunya daripada pelbagai latar budaya dan agama. 

“Apa yang lebih penting pengetahuan yang diperoleh melalui hubungan keluarga angkat mendekatkan diri mereka dengan kepelbagaian budaya dan adat resam yang dimiliki oleh rakyat Sabah khususnya di Kampung Lajong.

“Aktiviti yang disusun dalam program PUPUK ini merupakan satu pengalaman berharga buat pelajar dan memberi ruang untuk melihat perubatan dan kesihatan daripada perspektif yang berbeza selain daripada kuliah dan penempatan klinikal di hospital,” katanya.

Dalam pada itu, Dekan FPSK Profesor Dr. Mohammad Saffree Jeffree berkata, sehingga kini kira-kira 1,600 pelajar perubatan dan 32 buah kampung sekitar daerah Kudat telah terlibat dengan program berkenaan.

“Antara objektif program PUPUK adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar perubatan berkaitan aspek penjagaan kesihatan komuniti luar bandar, mempelajari gaya hidup, adat serta budaya masyarakat setempat di samping mengeratkan silaturahim di antara pelajar FPSK dan UMS dengan komuniti.

“Mereka akan mengikuti perkembangan keluarga PUPUK dari aspek kesihatan dan sosial dan seterusnya mencadangkan intervensi yang bersesuaian bagi meningkatkan tahap kesihatan,” katanya ketika ditemui media.

Tambah beliau, program PUPUK juga telah memenangi beberapa anugerah di peringkat antarabangsa dan diterbitkan di dalam jurnal berimpak tinggi serta menjadi keunikan kepada program perubatan FPSK berbanding universiti awam yang lain.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *