HomeUtamaSabah Net sasar jadi pusat kecemerlangan keselamatan siber

Sabah Net sasar jadi pusat kecemerlangan keselamatan siber

Read Time:2 Minute, 17 Second

KOTA KINABALU: Syarikat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) milik kerajaan negeri, Sabah Net Sdn Bhd mensasarkan untuk menjadi pusat kecemerlangan keselamatan siber bagi negeri ini.

Penegerusinya, Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi berkata, dengan kemahiran diperlukan, syarikat itu mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan profesional dalam bidang keselamatan siber di Sabah.

Katanya, teknologi berkenaan telah berkembang sejak dua tahun lalu dan dilaporkan kes keselamatan siber meningkat sebanyak 600 peratus disebabkan pandemik.

“Jenayah siber di seluruh dunia dianggarkan menelan kos USD10.5 trilion (RM46.47 trilion) setiap tahun menjelang 2025, yang mana kos tahunan global jenayah siber dianggarkan sebanyak USD6 trilion (RM26.55 trilion) setahun.

“Di Malaysia, Pasukan Maklumbalas Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT) telah melaporkan sebanyak 10,016 kes berkaitan keselamatan siber pada tahun lalu, manakala sebanyak 3,057 kes telah dilaporkan bagi tahun ini setakat Mei lalu,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Mohamed Razali berkata, berdasarkan anggaran kos yang terlalu tinggi, tidak dapat dinafikan bahawa keselamatan siber adalah sangat penting.

“Berikutan itu, kita mesti kekal berjaga-jaga dan menjangkakan serangan daripada elemen luar serta bersiap sedia dengan penyelesaian untuk memberi perlindungan sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata, sebagai sebuah organisasi yang percaya dalam penambahbaikan berterusan, Sabah Net mengambil pendekatan proaktif terhadap keselamatan siber dengan menggunakan kombinasi industri dalam rekaan peralatan untuk menyediakan perlindungan pada tahap paling tinggi kepada sistem dan data pelanggannya.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada syarikat pemenang anugerah penyelesaian keselamatan, Fortinet Malaysia, kerana memberikan peluang dalam membawa impak positif ke Sabah melalui kerjasama pintar dengan Sabah Net.

“Kita menghargai komitmen mereka dalam meningkatkan pertahanan keselamatan siber di negeri ini di tengah-tengah ancaman siber global yang sedang berlaku di sekitar kita,” katanya sambil menambah bahawa Sabah Net sudah bekerjasama dengan Fortinet lebih 10 tahun.

Beliau menambah, Fortinet menjadi penggerak di sebalik inovasi keselamatan siber dengan keupayaan mereka untuk mengesan ancaman dan menyediakan pencegahan serta penyelesaian pemulihan keselamatan siber yang berkesan.

“Berikutan itu, kita akan terus menggunakan penyelesaian Fortinet dalam Perkhidmatan Pengurusan Keselamatan kita,” katanya.

Terdahulu, pada 7 Julai lalu, Fortinet dan Sabah Net telah memeteraikan kerjasama pintar secara rasmi dalam satu majlis di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Hadir sama dalam majlis itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Zainudin Aman; Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Net, Chin Kah Yi dan Pengarah Jualan Fortinet, Abdul Aziz Ali.

Sementara itu, Zainudin berkata, kerjasama pintar ini penting bagi menyelesaikan kekurangan profesional keselamatan siber dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan tempatan, selain menyediakan bimbingan berterusan dalam amalan terbaik keselamatan siber.

Katanya, bagi Kerajaan Negeri pula, memiliki sebuah pusat kecemerlangan untuk keselamatan siber akan membantu ke arah perlindungan data sensitif yang lebih berkesan.

“Ia juga membolehkan perkhidmatan kerajaan digital untuk beroperasi tanpa gangguan dan juga membantu infrastruktur ICT kerajaan bagi menyediakan perkhidmatan yang boleh dipercayai rakyat,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Cubaan seludup minuman keras bernilai RM450,000, duti, cukai lebih RM1.9 juta...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya