Outlet pakaian seragam sekolah jenama Canggih dibuka di Penampang

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 19 Second

PENAMPANG: Majlis Amanah Rakyat (MARA) selaku agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang telah mengambil inisiatif serta tidak pernah jemu untuk sentiasa berusaha menyediakan pelbagai program dan salah satunya adalah membangunkan program industri gaya hidup dan tidak terkecuali dalam membekalkan kelengkapan pakaian sekolah.

Pengerusi MARA, Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab dalam meningkatkan sosio ekonomi Bumiputera, MARA sentiasa mencari peluang dan ruang untuk membantu masyarakat Bumiputera khususnya dalam bidang perniagaan.

“Hari ini kita rasa sangat bertuah kerana dapat bersama-sama berkumpul di salah sebuah outlet usahawan pembangunan peruncitan tekstil -Canggih Go iaitu Canggih Bayu Sdn Bhd yang merupakan satu-satunya peserta program daripada Sabah iaitu outlet milik usahawan Safuan A. Abas.

“Saya dimaklumkan, bahawa peningkatan jualan pakaian seragam sekolah oleh Canggih Bayu Sdn Bhd amat memberangsangkan. Bantuan pembiayaan yang disediakan oleh MARA sebanyak RM200,000.00 digunakan secara berhemah sehingga beliau berjaya memperolehi keuntungan jualan sebanyak RM634 ribu (2021) dan RM 1.2 juta (2022) menjadi bukti bahawa outlet beliau merupakan antara yang berjaya meningkatkan jualan melalui program ini,” katanya.

Azizah berkata demikian pada sidang media ketika hadir menyempurnakan Perasmian Outlet Canggih Go, di Cyber Perdana Commercial Centre, Penampang di sini, pada Rabu. (13 Julai)

“Pembukaan Canggih Go Sabah merupakan ejen/wakil bagi negeri Sabah dalam membekalkan pakaian sekolah jenama Canggih. Selain lokasi yang sesuai dan strategik, ia juga memberi manfaat kepada usahawan meningkatkan jualan disamping membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat. Outlet ini merupakan outlet kedua yg dirasmikan selepas outlet di Ampang Baru, Ipoh Perak,” jelasnya.

Beliau berkata, seramai lapan orang peserta telah terpilih berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM1.0 juta sejak program ini diperkenalkan pada tahun 2021. Sebanyak tujuh buah outlet telah berjaya dibuka iaitu dua di Pulau Pinang dan masing- masing satu di Perak, Sabah, Kuala Lumpur, Johor dan Selangor.

Azizah turut memaklumkan bahwa usahawan-usahawan tersebut telah berjaya mencapai nilai jualan sebanyak RM8.85 juta.

Program Pembangunan Usahawan Tekstils – Canggih GO merupakan salah satu program khas yang khas yang dirangka oleh MARA bagi membangunkan usahawan peruncitan di bidang tekstil dan pakaian. MARA telah berkolaborasi dengan My Sutera Sdn Bhd iaitu salah sebuah syarikat pengeluar pakaian sekolah yang ternama di Malaysia.

Melalui program ini, tambah Azizah, MARA bukan sahaja menyasarkan peningkatan pendapatan usahawan, malahan berharap dengan pembukaan outlet di Sabah ini akan dapat meluaskan segmen pasaran produk jenama Canggih ke 26 daerah di negeri tersebut yang sekaligus turut memberi kesan berganda dalam rantaian perniagaan lain seperti logistik.

Dalam majlis yang sama, Azizah turut menyampaikan sumbangan berbentuk 30 pasang uniform sekolah Canggih dan wang tunai bernilai RM3,000.00 kepada pelajar-pelajar daripada Rumah Anak Yatim dan Asnaf As Sakinah, Kinarut, Papar. Kedua-dua sumbangan tersebut telah disumbangkan oleh pihak My Sutera Sdn Bhd dan Yayasan Pelajaran MARA (YPM).

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *