Sokongan pemain ke-12 julang semangat Sabah FC bertemu JDT esok

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 33 Second

KOTA KINABALU: Sokongan padu penyokong setia skuad ‘The Rhinos’ diperlukan sebagai pembakar semangat buat pasukan itu bertemu pendahulu Liga Super Johor Darul Ta’zim FC (JDT) di Stadium Likas malam esok.

Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee berkata, ia dilihat penting bagi memastikan skuad kendaliannya tidak kehilangan mata ketika bermain di hadapan penyokong tegar mereka.

Katanya, para pemain juga perlu meningkatkan fokus serta berdisiplin bagi mengekalkan momentum sedia ada agar tidak kehilangan mata bermain di gelanggang sendiri.

“Ketika ini persaingan kedudukan di tangga pertama dan kedua Liga Super sangat sengit. Ini sudah pasti menjadikan perlawanan pada jumaat nanti bertambah sengit.

Datuk Ong Kim Swee

“Kita anggap semua perlawanan adalah sangat penting lebih-lebih lagi apabila bertemu dengan pasukan pilihan seperti JDT ini.

“Persiapan kita seperti biasa, seperti yang lalui sebelum-sebelum ini.  Tiada perbezaan dan kita tahu bermain dengan JDT kita pasti ingin mendapatkan sesuatu dalam perlawanan ini nanti,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Kim Swee berkata masih terlalu awal untuk meletakkan sasaran walaupun Sabah FC sudah membuktikan dengan apa yang telah dilalui sekaligus membolehkan skuad The Rhinos berada dalam kelompok tiga pasukan terbaik ketika ini.

“Kita tahu ini bukan satu perkara mudah.  Pemain kita sudah berusaha dengan begitu gigih. Kita tidak akan terhenti di sini kerana masih mempunyai  11 atau 12 baki perlawanan perlu dilalui agar berada pada landasan yang betul,” katanya.

Ketika mengulas mengenai peluang malam esok, Kim Swee berkata sudah tentu dengan kemenangan akan memberikan keyakinan cukup tinggi kepada pasukan Sabah FC.

“Kita tidak boleh terlalu memikirkan tentang kemenangan, Apa yang penting adalah kekal fokus, berdisiplin ketika kita bermain sepanjang perlawanan nanti,” katanya.

Menurutnya, pasukan JDT mempunyai pemain yang cukup berkualiti untuk menukar permainan dalam sekelip mata tanpa disedari.

“Kita tidak boleh terburu-buru,  perlu menggandakan usaha jika ingin mencapai kejayaan atau sekurang-kurangnya untuk mendapatkan sebarang mata,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *