Kerajaan Malaysia telah berjaya mendapatkan perintah perundangan pada Selasa apabila Mahkamah Rayuan Paris membenarkan permohonan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan āfinal awardā bertarikh 28 Februari lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kesan daripada perintah penggantungan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rayuan Paris itu, āfinal awardā tidak boleh dikuatkuasakan di mana-mana negara.
Menurutnya, penggantungan itu adalah sehingga keputusan muktamad oleh Mahkamah Paris berkenaan dengan permohonan pembatalan āfinal awardā yang dibuat oleh kerajaan Malaysia.
āFinal award yang telah dikeluarkan oleh Dr Gonzalo Stampa (Perintah Penggantungan) berikutan tuntutan oleh pihak-pihak yang mendakwa sebagai waris dan āsuccessors-in-interestā kepada Sultan Jamalul Kiram II (penuntut) melalui satu prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol.
āAsas keputusan Mahkamah Rayuan Paris adalah āfinal awardā tersebut akan menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia.
āPerintah penggantungan itu adalah hasil daripada pelbagai tindakan perundangan yang diambil oleh kerajaan Malaysia bermula dari tuntutan tersebut difailkan bagi menamatkan segala tuntutan dan memastikan agar kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara,ā katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pada 11 Julai 2022, dua syarikat subsidiari Petronas di Luxembourg telah dimaklumkan mengenai penguatkuasaan āfinal awardā melalui penyerahan notis yang dikeluarkan oleh Mahkamah Luxembourg.
Bagaimanapun katanya, Petronas sebagai sebuah syarikat akan mengambil tindakan perundangan yang perlu untuk mempertahankan kedudukannya di bawah undang-undang.
āKerajaan Malaysia menegaskan bahawa ia tidak pernah mengiktiraf tuntutan tersebut dan tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatannya sebagai sebuah negara berdaulat.
āBerikutan itu, kerajaan Malaysia telah mengambil tindakan-tindakan perundangan di Madrid, Sepanyol.
āIa termasuklah membuat permohonan bagi pengiktirafan dan penguatkuasaan perintah deklarasi dan injunksi bagi memberhentikan prosiding timbang tara di Sepanyol yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Sabah pada 14 Januari 2020, iaitu permohonan bagi membatalkan pelantikan penimbang tara dan permohonan untuk mengetepikan āPartial Award on Jurisdictionā bertarikh 25 Mei 2020 yang dikeluarkan oleh Dr Stampa,ā jelasnya.
Jelas Wan Junaidi, berikutan tindakan-tindakan perundangan yang telah diambil oleh kerajaan Malaysia, Mahkamah Tinggi Madrid, Sepanyol pada 29 Jun 2021 telah membatalkan pelantikan penimbang tara Dr Stampa yang memutuskan semua prosiding timbang tara dan apa-apa keputusan Dr Stampa, termasuk āfinal awardā adalah tidak sah, terbatal dan tidak boleh dikuatkuasakan di bawah undang-undang.
Dr. Stampa juga katanya, tidak menghormati dan tidak mempedulikan keputusan-keputusan Mahkamah di Madrid dan sebaliknya memindahkan tempat prosiding timbang tara (seat of arbitration) ke Paris.
āPada 29 September 2021, pihak penuntut telah memperoleh āPerintah Exequaturā secara āex parteā daripada Tribunal de Grande Instance di Paris, Perancis yang telah mengiktiraf āpartial awardā yang dikeluarkan pada 25 Mei 2021 dan dengan itu, membenarkan Dr. Stampa memindahkan tempat prosiding timbang tara ke Paris.
āKerajaan Malaysia telah mencabar āPerintah Exequaturā yang diperolehi secara ex parte tersebut dan telah berjaya memperoleh perintah penggantungan bertarikh 16 Disember 2021 daripada First āPresident of the Paris Court of Appealā.
āIni bermakna, pihak penuntut terhalang daripada bergantung pada āPerintah Exequaturā yang
diperolehi pada 29 September 2021. Bertentangan dan bercanggahan dengan perintah penggantungan tersebut, penuntut mengekalkan kedudukan dan pendirian bahawa āPerintah Exequaturā tersebut berkuat kuasa dan āfinal awardā telah dikeluarkan di tempat timbang tara di Paris, Perancis,ā jelasnya.
Pada masa sama, prosiding jenayah terhadap Dr Stampa juga difailkan oleh kerajaan Malaysia bagi kesalahan menghina mahkamah di Mahkamah Jenayah di Madrid dan prosiding bagi perkara ini masih berjalan.
Jelasnya, berikutan kejayaan kerajaan Malaysia mendapatkan perintah penggantungan āfinal awardā pada 12 Julai, Kerajaan Malaysia sedang membuat persiapan yang rapi untuk pendengaran bagi pembatalan āfinal awardā yang mana tarikh pendengarannya belum ditetapkan.
āKerajaan Malaysia akan terus mengambil semua langkah yang sewajarnya termasuk tindakan perundangan untuk menamatkan segala tuntutan tersebut dan memastikan agar kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara,ā tegasnya.



