Jalan rosak di laluan KK-Sandakan siap dua bulan lagi

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 33 Second

SANDAKAN: Sebanyak RM10.5 juta diperuntukkan bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan segera kerosakan di lima lokasi Jalan Persekutuan FT22 sepanjang laluan Kota Kinabalu-Sandakan termasuk jajaran Projek Lebuhraya Pan Borneo yang dikenalpasti mengalami kerosakan teruk.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, dari jumlah itu sebanyak RM5 juta disalurkan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah manakala sejumlah RM5.5 juta disalurkan menerusi Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.

Katanya, lima lokasi yang dikenal pasti perlu pembaikan segera adalah di Jalan Persekutuan FT22 ialah di Seksyen 173-174, Seksyen 174-175, Seksyen 175-176, Seksyen 176-177 dan Seksyen 143-144  meliputi kerja-kerja berkala mengikut keutamaan di daerah Telupid.

“Kementerian Kerja Raya (KKR) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan segera di kawasan yang telah dikenal pasti.  Surat arahan kebenaran belanja telah dimajukan kepada JKR Sabah pada 22 Jun yang lalu.

“Berdasarkan status semasa sehingga hari ini, kerja-kerja fizikal telah bermula dan dijangka akan siap dalam tempoh dua bulan sebagai antara langkah jangka pendek mengatasi ketidakselesaan pengguna jalan raya,” katanya dalam kenyataan sempena tinjauannya di Jalan Sandakan – Telupid, di sini hari ini.

Menurutnya, bagi kerja-kerja pembaikan jalan laluan Projek Lebuhraya Pan Borneo pakej kerja 28,29 dan 30 ianya akan dilaksanakan dengan segera menggunakan peruntukan di dalam kontrak yang dianggarkan sebanyak RM5.5 juta.

Katanya, ketiga-tiga pakej berkenaan adalah melibatkan laluan dari Batu 32, Sandakan sehingga Sungai Baoto.

“Kerja-kerja telah bermula pada awal bulan Julai 2022 dan lokasi yang kritikal akan dibaiki terlebih dahulu. Kerja-kerja pembaikan awalan ini dijangka akan siap dalam tempoh dua bulan.

“Dalam masa yang sama, kerja-kerja untuk mengenalpasti laluan yang berisiko akan terus dibuat oleh JKR Sabah dan pihak perunding selain akan dibentangkan pada mesyuarat pasukan petugas khas secara berperingkat,” katanya.

Tambahnya, kaedah penyelesaian yang dirancang perlu penglibatan pasukan projek Lebuhraya Pan Borneo yang terdiri daripada Pegawai Penguasa Projek (JKR Sabah), pihak perunding dan kontraktor serta melibatkan juga pihak Konsesi bagi menangani isu di Jalan Persekutuan.

Dalam pada itu, Arthur berkata, langkah yang diambil itu adalah susulan lawatan kerja bersama Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan pengurusan atasan KKR sempena FT Roadpedia Negeri Sabah pada Mei lalu.

“Susulan lawatan itu, satu pasukan petugas khas yang saya ketuai dibentuk bagi mengenal pasti dan mencari jalan penyelesaian jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang untuk mengatasi kesulitan pengguna jalan raya yang di laluan FT22 dari Sandakan ke Telupid.

“Mesyuarat pertama diadakan pada 7 Jun lalu yang mana hala tuju pasukan khas ini memfokuskan aspek keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya serta meningkatkan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan untuk mencari kaedah penyelesaian bersama,” katanya.

Sementara itu, Arthur berkata bagi penyelesaian jangka sederhana, JKR Sabah akan melaksanakan pemeriksaaan terhadap pelan pengurusan trafik di tapak secara berkala untuk memastikan kontraktor Lebuhraya Pan Borneo sentiasa mematuhi aspek keselamatan jalan raya ketika pembinaan.

Katanya, JKR Sabah akan menambah papan tanda amaran mengikut kesesuaian lokasi selain bekerjasama secara berterusan dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkaitan pematuhan peraturan jalan raya serta mengkaji had laju sepanjang tempoh pembinaan Lebuhraya Pan Borneo.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *