KPDNHEP Sandakan rancang laksana taklimat advokasi pencegahan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 14 Second

Oleh ERDIE AB WAHID
[email protected]

SANDAKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Sandakan merancang untuk mengadakan taklimat advokasi pencegahan bersama pemborong dan pemilik kilang pembungkus minyak masak bersubsidi di daerah ini.

Ketua Pegawai KPDNHEP Cawangan Sandakan Azdy Zukkry John berkata, bagi tujuan itu pihaknya akan menjalin kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Sandakan bagi melaksanakan taklimat tersebut.

“Bagi memastikan barangan kawalan khususnya yang bersubsidi diterima dan sampai kepada sasaran, kita bercadang untuk mengadakan taklimat advokasi yang akan dikendalikan oleh SPRM Sandakan.

“Kita mensasarkan kepada pemegang Lesen Barang Kawalan (CSA) dan pengilang-pengilang minyak masak paket bersubsidi di daerah ini untuk menyertai taklimat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Cawangan SPRM Sandakan Geoffrey Tawayan di sini semalam.

Azdy berkata, taklimat itu juga bagi memastikan para pengilang tidak menjual minyak masak bersubsidi kepada individu tidak berlesen atau bersekongkol dengan sindiket penyelewengan.

Katanya, menerusi taklimat itu juga, para pengilang atau pemegang CSA dapat memperkasakan lagi integriti dikalangan pemain industri.

Pada kunjungan hormat itu, Azdy turut memberi penerangan dan cara pelaksanaan kepada Program Prihatin Keluarga Sandakan termasuk cara penghantaran dan agihan bekalan barang perlu khususnya minyak masa paket bersubsidi oleh enam pemborong dilantik.

Selain itu, Azdy turut diberi penerangan bagaimana untuk menyalurkan maklumat sekiranya berlaku penawaran rasuah kepada pegawai-pegawai KPDNHEP Sandakan selain perbincangan mengenai fungsi dan tugas SPRM dan KPDNHEP.

“SPRM Sandakan turut bersedia untuk memberikan khidmat nasihat kepada para pegawai KPDNHEP sekiranya perlu,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *