Teruskan kecekalan & komitmen dalam latihan ketika bertugas – Hajiji

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 0 Second

KOTA KINABALU: Setiap pelatih digesa menunjukkan kecekalan dan komitmen tinggi ketika dalam latihan dan terus diamalkan semasa melaksanakan tugas sebagai seorang anggota penyelamat di lapangan.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sebagai perkhidmatan yang dianggap ‘a noble profession’ atau profesion yang mulia, masyarakat memandang tinggi terhadap kecekapan, kesiapsiagaan dan pengorbanan anggota bomba dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat terpelihara dan terjaga.

“Tradisi dan legasi ini hendaklah diwarisi setiap lapisan warga bomba, khususnya pegawai baharu dalam perkhidmatan.

“Saya percaya latihan yang diperoleh terutama menerusi modul latihan asas Kursus Sijil Sains Kebombaan ini akan merubah pelatih daripada seorang awam kepada seorang yang mengamalkan budaya kerja perkhidmatan beruniform melalui pembentukan keperibadian yang unggul, keberanian dan tidak mementingkan diri.

“Justeru, saya mahu semua anggota baharu seramai 148 orang ini akan memanfaatkan sepenuhnya ilmu yang diperoleh sepanjang latihan untuk menjalankan tugas dengan lebih berkesan,” katanya ketika merasmikan Majlis Perbarisan Pertauliahan Sijil Sains Kebombaan Siri 1/2022 di Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia di sini pada Khamis.

Terdahulu Ketua Menteri dianugerahkan pangkat Timbalan Kanan Pesuruhjaya Bomba Kehormat dalam satu Istiadat Penganugerahan Pangkat Kehormat yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Dato Sri Ts Mohammad Hamdan Wahid.

Turut menerima penganugerahan ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri yang juga Menteri Kewangan II negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, yang dianugerahkan pangkat Timbalan Pesuruhjaya Bomba Kehormat.

Hadir sama di majlis itu Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Sarul Bahiyah Abu dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Sabah, Abdul Razak Muda.

Hajiji turut menyambut baik usaha Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah mengambil langkah proaktif dengan menempatkan pasukan Mountain Search and
Rescue ( MOSAR ), yang mempunyai kepakaran yang khusus dan kompeten bagi melaksanakan kerja penyelamatan di gunung.

“Tragedi gempa bumi di Gunung Kinabalu pada tahun 2015 telah memberikan pengajaran kepada kita untuk sentiasa bersedia menghadapi bencana seumpamanya dan penubuhan MOSAR adalah satu tindakan yang tepat. “Berdasarkan kepada statistik penyelamatan oleh MOSAR, sebanyak 26 kes penyelamatan telah dilaksanakan oleh pasukan itu bagi tahun 2022 bermula Januari hingga Jun,” katanya.

Hajiji berkata, kecemerlangan sesebuah pasukan atau organisasi adalah berlandaskan
tahap disiplin warganya. Oleh itu katanya, penjawat awam diseru untuk sentiasa mengamalkan integriti dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan,” katanya.

Beliau turut merakamkan terima kasih kepada pasukan bomba atas segala khidmat bakti yang telah dicurahkan oleh Wira-wira Merah dalam menjaga kesejahteraan dan keselamatan nyawa dan harta benda khususnya di Negeri Sabah.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *