Yayasan Nur Jauhar agih sumbangan daging korban kepada asnaf, warga tua

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 22 Second

NABAWAN: Yayasan Nur Jauhar (YNJ) menyampaikan sumbangan berupa wang tunai dan daging korban kepada seramai 100 orang penduduk sekitar daerah ini.

Pengerusi YNJ Brigedier Jeneral Al Hambra Juhar berkata, sumbangan itu disampaikan kepada penerima yang terdiri daripada golongan asnaf dan warga tua.

“Untuk program hari ini (semalam), sebanyak dua ekor lembu disumbang untuk dikorbankan dan setiap penerima mendapat empat kilogram seorang.

“Sebelum ini, YNJ telah mengadakan program seumpama di beberapa buah daerah dan yang terakhir sekali sebelum program hari ini adalah di daerah Kota Marudu dan Pitas yang mana sumbangan telah diberikan kepada golongan asnaf, Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Cawangan Kota Marudu dan Pitas serta mangsa banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Ziarah Korban Daerah Nabawan, di sini semalam.

Sumbangan daging korban tersebut diagihkan oleh Isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni dan Al Hambra di Dewan Terbuka Sekolah Agama Rendah Kampung Murni Nabawan.

Al Hambra berkata, secara keseluruhannya, pihak Istana Seri Kinabalu telah menyumbangkan sebanyak enam ekor lembu setakat semalam.

Dalam majlis yang sama, Toh Puan turut menyampaikan sumbangan berupa wang tunai kepada Kelas Bimbingan Saudara Kita (KBSK).

Sementara itu, Pengerusi KBSK, Duria Lusau, 45, menzahirkan rasa kesyukuran atas sumbangan yang diberikan oleh YNJ.

“Kami akan memanfaatkan sumbangan ini dengan menggunakannya untuk aktiviti yang berfaedah antaranya mengunjungi saudara-saudara baru di sini.

“Kami juga berharap agar lebih banyak pihak akan tampil memberikan sumbangan untuk menampung perbelanjaan aktiviti-aktiviti KBSK,” tambahnya.

Hadir sama, Pegawai Daerah Nabawan, Neldin Gimbang, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Nabawan, Deckson Andipai, Pegawai Perhubungan Parlimen, Justin Lambirong dan Penolong Pegawai Daerah merangkap Pengerusi Badan Dakwah Nabawan, Ali Kazrai Pandin.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *