DUN Sabah bersidang empat hari bermula Isnin ini

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 28 Second

KOTA KINABALU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan bersidang selama empat hari bermula Isnin ini.

Speaker DUN Sabah Datuk Kadzim M Yahya berkata, persidangan kali ini akan turut membenarkan kehadiran pemerhati dengan beberapa syarat yang ditetapkan.

Katanya, permohonan sebagai pemerhati perlu dibuat secara terus kepada urusetia DUN Sabah dengan menepati beberapa syarat yang ditetapkan selepas mengambil kira jumlah kes COVID-19 yang kini mencecah tiga angka di negeri ini.

“Walaupun pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) kini ke arah endemik, DUN Sabah masih mengekalkan langkah berjaga-jaga.  Oleh itu, mesyuarat pada hari ini (semalam) membincangkan persiapan mesyuarat kedua penggal ketiga DUN Sabah ke-16 yang akan diadakan selama empat hari bermula Isnin depan.

“Dalam mesyuarat ini, jawatankuasa induk bersetuju untuk membenarkan kehadiran pada pemerhati tetapi secara terhad mengikut masa yang ditetapkan.  Untuk itu, para pemerhati hendaklah membuat permohonan kepada pihak urusetia DUN Sabah untuk menghadiri dan mengikuti sidang ini,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Kadzim berkata, sebanyak empat Rang Undang-Undang (RUU) akan dibawa pada persidangan itu namun tidak menjelaskan lanjut mengenai RUU berkenaan.

Katanya, jumlah serta kehadiran para pemerhati adalah secara bergilir mengikut  tempoh masa yang ditentukan.

“Bagi ahli Yang Berhormat yang berhasrat membawa penyokong atau pengikut, bolehlah membuat permohonan kepada urusetia dan kita hadkan kepada lima orang sahaja.

“NGO dan sekolah-sekolah pun boleh membuat permohonan tetapi dalam jumlah yang terhad dan ketetapan masa yang kita ditentukan.

“Oleh kerana ruang adalah terhad, kita akan pastikan para pemerhati mengikuti sidang dewan secara bergilir dan selepas tamat tempoh ditetapkan, para pemerhati dinasihatkan beredar meninggalkan dewan,” katanya.

Kadzim berkata, selain mewajibkan penggunaan pelitup muka sepanjang masa, semua petugas dan pemerhati diwajibkan menjalani ujian saringan menggunakan kit ujian pantas (RTK) antigen menggunakan sampel air liur.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *