Buka pasaran eksport, rebut peluang pasaran ayam di Asia kata penyelidik

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 53 Second

CYBERJAYA — Memandangkan bekalan sudah pulih di pasaran, kerajaan digesa membenarkan industri ayam ini untuk berkembang dengan membenarkan ayam hidup dieksport semula ke luar negara.

Menurut penyelidik pasaran ayam, Hanafi Mukhriz berkata untuk rekod pengeluaran ayam dalam negara adalah sebanyak 106% berbanding tahap sara diri (SSL), yang bermaksud ianya melebihi permintaan tempatan.

Katanya, semakan juga mengenai harga jualan ayam di beberapa buah negara di dunia menyaksikan Malaysia merupakan antara negara yang menjual ayam pada harga yang rendah.

SENARAI HARGA JUALAN AYAM HIDUP DI BEBERAPA BUAH NEGARA DI DALAM NILAI $USD

“Justeru, rugi sekiranya kerajaan meneruskan larangan mengeksport ayam daging/segar ini keluar negara walaupun bebarapa sekatan sebelum ini telah pun di tarik balik dan sekatan ini akan menyebabkan penternak di Malaysia mengalami kerugian di jangka masa panjang.

“Penternak ayam di Malaysia sudahpun berdepan kehilangan pasaran apabila Singapura bertindak membeli ayam daripada Indonesia dan bekalan itu masuk mulai minggu lepas selepas Malaysia menguatkuasakan larangan penjualan ayam daging/segar ke negara tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata para pemain industri di Malaysia haruslah menawarkan semula produk ayam hidup/segar ini ke pasaran dunia memandangkan harga jualan komoditi tersebut di Malaysia merupakan terendah di Asia tenggara ketika ini.

Jadi peluang itu harus diambil kerana pemain industri ini mampu untuk membekalkan ayam segar/hidup ke pasaran antarabangsa dengan harga yang lebih menarik.

Katanya, dengan kebenaran semula itu, Malaysia boleh menjadi pemain utama penjualan ayam di Asia dan sekaligus menarik pelabur asing untuk terus melabur di Malaysia.

“Jika sekarang ini tahap SSL 106%, ianya boleh ditingkatkan lagi kepada kadar lebih tinggi sekiranya para penternak ini meningkatkan pengeluaran mereka.

“Untuk membenarkan perkara itu berlaku, maka para penternak mesti menarik pelabur-pelabur asing untuk membuat pelaburan di dalam ladang mereka dan satu keputusan pengawalan dan jaminan di antara Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan juga penternak agar bekalan ayam tidak akan putus di pasaran Malaysia dan harganya mestilah pada kadar yang adil untuk rakyat Malaysia mestilah dimeterai,” katanya.

Beliau juga berkata perkara itu boleh dilakukan dengan cara kerajaan dan pihak penternak sama-sama duduk semeja dan berunding seperti yang sedang dijalankan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Ronald Kiandee masa ini.

Pujian juga harus diberikan kepada Menteri MAFI dan pasukannya di atas usaha keras di dalam memastikan rundingan di antara pemain industri dan kerajaan berjalan dengan baik dan sekaligus situasi menang-menang dapat diilhamkan katanya.

Katanya, apa yang penting penternak mahu membuat keuntungan daripada perniagaan yang dijalankan manakala kerajaan memastikan rakyat tidak terputus bekalan dan mendapat harga yang adil kepada mereka.

“Penternak ini pula tidak menyalahgunakan subsidi yang diterima dengan menuntut semula subsidi bagi setiap kilogram yang dijual sedangkan ayam tersebut tidak dijual di dalam negara,” katanya.

Tambah beliau lagi, kebenaran export dan galakkan kepada pemain industri untuk meningkatkan pengeluaran mereka haruslah berjalan dengan segera memandangkan kita tidak mahu pasaran mengalami lebihan bekalan dan pastinya penternak akan mengurangkan bekalan di masa beberapa bulan lagi sekiranya permintaan tidak berubah dan tidak ada peluang untuk mereka menerokai pasaran baharu ayam.

Pada Khamis lalu, Ronald berkata larangan eksport ayam kini hanya terhad kepada ayam bulat atau ayam hidup.

Katanya, manakala produk-produk ayam yang lain selain daripada ayam bulat ini telah pun dibenarkan eksport. 

“ Samada ada ayam hidup ataupun ayam bulat ini akan dibenarkan dieksport semula, ianya akan ditimbang oleh kerajaan selepas dibuat kajian-kajian untuk memastikan bahawa bekalan ayam tempatan ni mencukupi. 

“Syaratnya adalah bekalan ayam mencukupi, dan kemudian kerajaan akan mempertimbangkan untuk membenarkan eksport ayam bulat ini,” katanya pada Khamis lalu.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *