Embalo terus diberi kepercayaan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 38 Second

KOTA KINABALU : Penyerang Sabah FC, Jose Embalo dijangka akan diberi kepercayaan pada kesebelasan utama pasukan itu bagi menentang Terengganu FC pada saingan Liga Super di Stadium Likas malam esok.

Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee berkata, Embalo tetap akan diturunkan pada perlawanan esok dalam menilai prestasinya meskipun mendapat kritikan dan kecaman di media sosial.

“Embalo akan pasti diturunkan untuk kita menilai prestasinya. Sebelum ini dia telah turun bermain dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan dan Johor Darul Ta’zim (JDT) tempoh hari.

“Ini bukan satu perkara yang baru bagi saya, beliau baru hadir dan kita harus memberikan kepercayaan di mana kita tahu untuk mengadaptasi para pemain kita akan mengambil sedikit masa.

“Namun saya akan tetap memberi kepercayaan kepada Embalo dan saya ingin melihat beliau mampu membuktikan yang beliau merupakan seorang penyerang yang berbisa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Kim Swee berharap dan meminta kepada para penyokong ‘The Rhinos’ untuk tidak mengulangi kesilapan lalu khususnya yang melibatkan insiden-insiden yang tidak diingini.

“Kita tahu setiap penyokong mempunyai emosi termasuk para pemain dan juga pegawai tetapi dalam bola sepak kita harus mengekalkan disiplin dan memastikan kita bukan sahaja dihormati sebagai pasukan yang baik tetapi mempunyai penyokong yang mempunyai mentaliti yang cukup-cukup positif.

“Jadi saya harap para penyokong akan terus hadir memberi sokongan kepada pasukan Sabah,” katanya.

Beliau turut berharap agar para penyokong untuk terus hadir menyokong pasukan Sabah bukan hanya dengan perlawanan dengan JDT malah dengan semua perlawanan yang diadakan khususnya esok selain perlawanan menentang Selangor FC bagi saingan Piala FA.

Ketika diminta mengulas mengenai Pasukan Terengganu FC, Kim Swee melihat pasukan itu satu pasukan yang baik meskipun lewat untuk memastikan berada dalam kelompok terbaik.

“Tetapi kita dapat lihat kebelakangan ini mereka mencapai dua kemenangan berturut turut jadi kita tidak boleh mengambil mudah seperti saya katakan bukan sahaja JDT, Terengganu tetapi semua pasukan yang terlibat dalam Liga Super kita harus menghormati dan kita harus berada pada tahap yang cukup baik,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *