Projek pembangunan di Sabah tidak wajar ditangguhkan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 9 Second

KOTA KINABALU : Projek pembangunan yang dilaksanakan khususnya di negeri ini dilihat tidak wajar untuk ditangguhkan bagi menghormati Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Arifin berkata, langkah penjimatan perbelanjaan awam boleh dilakukan dengan pelbagai cara dan bukan menangguhkan atau membatalkan projek yang belum bermula terutama bagi negeri Sabah.

“Saya berpandangan bahawa usaha Kerajaan Persekutuan bagi memastikan negeri Sabah tidak ketinggalan dalam arus pembangunan merupakan langkah untuk menghormati MA63.

“Oleh sebab itu, Sabah harus dilayan Secara adil dengan menghormati MA63 untuk kebaikan bersama dan jangan sekali meminggirkan negeri ini dalam arus pembangunan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Jafry berkata, Sabah antara penyumbang utama terbesar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) namun jurang pembangunan masih ketinggalan dalam beberapa aspek jika dibandingkan dengan negeri-negeri di Semenanjung.

“Saya yakin dan percaya untuk mewujudkan sebuah negara yang maju, makmur dan bersatu padu dengan segala hasil kemakmurannya perlu dikongsi secara adil oleh setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kumpulan pendapatan, etnik dan wilayah,” katanya.

Terdahulu, pada Ahad lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Kerajaan mengambil langkah untuk menangguhkan atau tidak meneruskan mana-mana projek yang belum bermula sebagai langkah penjimatan perbelanjaan awam bagi membolehkan dana disalurkan untuk kesejahteraan rakyat dan usaha memulihkan ekonomi negara.

Katanya, langkah itu sebagai menyahut arahan dikeluarkan menerusi Pekeliling Perbendaharaan Malaysia bertajuk “Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam”.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *