RM9.5 juta promosi budaya, kepelbagaian etnik di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 12 Second

SEMPORNA: Kerajaan negeri memperuntukan sebanyak RM9.5 juta bagi tujuan mempromosikan budaya dan kepelbagaian etnik di negeri ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peruntukan itu akan disalurkan kepada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) manakala RM400,000 lagi akan disalurkan kepada persatuan kebudayaan.

Katanya, ianya adalah bagi menyemarakkan lagi aktiviti kebudayaan, kesenian dan bahasa.

“Ini adalah tanda Kerajaan Negeri serius dalam usaha mempromosikan kekayaan budaya dan kepelbagaian tarikan etnik di negeri ini yang merupakan aset penting kepada sektor pelancongan di negeri ini. 

“Kerajaan negeri juga sedang melaksanakan Pelan Pemulihan Pelancongan untuk pelancong dalam dan luar negara manakala Pelan Pembangunan Kebudayaan Sabah juga akan digubal bagi mempromosikan warisan budaya Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Malam Penangguhan Regatta Lepa Semporna kali ke-27 di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Pegawai Daerah Semporna, Juraimin Jadil.

Hajiji berkata, pemain industri pelancongan juga perlu untuk bersifat inovatif, sedia berubah dan bersedia mengadaptasi pendekatan baharu dalam mengatasi pelbagai kekangan yang dihadapi terutama situasi negara dalam peralihan ke endemik.

Katanya, tema sambutan, ‘Regatta Lepa Pemangkin Budaya Keluarga Malaysia’ amat sesuai dan tepat dan ia berjaya menarik kehadiran pelancong ke Sabah khususnya ke daerah Semporna. 

Sambutan tiga hari yang berlangsung sejak 15 Julai dimeriahkan dengan beberapa acara sukan air, perarakan lepa cantik dan lepa berhias dan pertandingan ratu lepa.

Turut diadakan, pameran daripada pelbagai agensi seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Perhutanan, Angkatan Tentera Malaysia dan gerai kraftangan hasil tempatan juga turut diadakan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *