DUN Sabah : Enam bidang diberi keutaamaan pelihara, martabat budaya etnik di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 6 Second

Oleh ERDIE AB WAHID
[email protected]
Foto : Jabatan Penerangan Sabah

KOTA KINABALU : Enam bidang dikenalpasti untuk diberi keutamaan dalam usaha memelihara dan memartabatkan budaya pelbagai etnik di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Arifin berkata, bidang-bidang yang diberi keutamaan itu akan dilaksanakan menerusi Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS).

“Antara bidang tersebut adalah Pendigitalan Seni Budaya dimana ianya sesuai dengan tuntutan kemodenan dan norma baharu masa kini serta selaras dengan Pelan Pembangunan Pendigitalan Kerajaan Negeri.

“Pelbagai program pendigitalan telah dilaksanakan seperti membangunkan aplikasi eculture yang boleh dimuat turun melalui telefon pintar android atau iOS Appstore,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Tan Lee Fatt (DAP- Likas) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Jafry berkata, bidang kedua adalah menerusi Pelancongan Budaya Bersepadu bagi memartabatkan lagi keunikan dan keindahan budaya supaya menjadi tarikan utama pelancong untuk melawat ke negeri Sabah.

Katanya, Kementeriannya  telah memperkenalkan  inisiatif ‘Pelancongan Budaya Bersepadu’ sejak tahun 2021.

“Di bawah inisiatif ini, kementerian telah memperkenalkan Program Hentian Budaya atau Cultural Pit-Stop dengan mengenal pasti beberapa lokasi yang strategik untuk pelaksanaan Hentian Budaya seperti di Kota Belud dengan konsep ‘Cowboy of the East”.

“Selain itu, Pemuliharaan Kebudayaan juga akn turut diberi keutamaan khususnya dalam memulihara budaya yang menjurus kepada pemuliharaan bahasa-bahasa sukuan Sabah khususnya bahasa-bahasa orang Asal yang kini diancam kepupusan.

“Keempat, Pengukuhan Hubungan Etnik bagi memastikan perpaduan dan hubungan etnik berada di tahap memuaskan, Kementerian  telah mengkhususkan Perayaan Hari Etnik Sabah Sempena Hari Jadi Rasmi Tuan Yang di-Pertua Negeri Sabah sebagai hari untuk meraikan kepelbagaian budaya etnik dan toleransi di antara etnik bermula tahun 2021 dan pada tahun ini Hari Etnik akan diadakan pada bulan Oktober,” katanya.

Sementara itu, Jafry berkata, LKNS juga akan memberi tumpuan kepada Dokumentasi dan Penyelidikan bagi mendokumenkan keunikan budaya, tradisi dan cara hidup masyarakat orang asal di Sabah.

Katanya, bagi memastikan rancangan pembangunan kebudayaan yang sistematik dalam jangka panjang, Pelan Pembangunan Kebudayaan Negeri Sabah akan dibangunkan yang melibatkan beberapa pelan tindakan yang menjurus kepada memartabatkan khazanah warisan ke peringkat yang lebih tinggi. 

“Kementerian juga melalui Jabatan Muzium Negeri Sabah dalam usaha untuk memartabatkan dan memelihara budaya, tradisi dan cara hidup masyarakat orang asal di Sabah.

“Ini termasuklah  melipat gandakan pelaksanaan pendokumentasian, pengumpulan dan perolehan koleksi artifak, melaksanakan program kesedaran berkaitan budaya seperti kraf, adat resam, muzik dan sebagainya,” katanya.

Tambahnya, Jabatan Muzium Negeri Sabah juga giat dalam mengenalpasti dan mewartakan tapak-tapak yang berkepentingan sejarah selaras dengan tuntutan Enakmen Warisan Negeri 2017.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *