HomeUtamaDUN Sabah : Ekonomi Sabah kekal dengan trend lebih baik - Hajiji

DUN Sabah : Ekonomi Sabah kekal dengan trend lebih baik – Hajiji

Read Time:2 Minute, 0 Second

Oleh ERDIE AB WAHID
[email protected]
Foto: Jabatan Penerangan Sabah

KOTA KINABALU: Pemulihan ekonomi Sabah kekal berada di dalam prospek meyakinkan dengan trend yang lebih baik yang dapat dilihat menerusi penunjuk makroekonomi negeri pada tahun lalu berbanding tahun 2020.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, berdasarkan laporan awal yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah telah direkodkan tumbuh pada kadar positif iaitu pada kadar 1.1 peratus berbanding penguncupan 9.5 peratus pada tahun sebelumnya.

“Selain itu, kutipan hasil negeri yang tertinggi, sepanjang sejarah penubuhan negeri ini iaitu sejumlah RM5.449 bilion pada tahun 2021.

“Pemberian dividen oleh agensi dan GLC di bawah Kerajaan Negeri terus mencatatkan peningkatan kepada RM116.35 juta pada tahun 2021 berbanding RM100.39 juta pada tahun 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Rubin Balang (BN-Kemabong) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, Kerajaan negeri turut komited untuk menyediakan kemudahan rumah merentasi semua lapisan masyarakat yang memerlukan.

Katanya, pada 13 Julai lalu, Kerajaan Negeri juga turut meluluskan pembangunan perumahan Penjawat Awam Negeri Sabah di bawah Program Perumahan Sabah Maju Jaya di atas tanah rezab kerajaan di Kampung Kopimpinan, Papar seluas 136 ekar.

“Peluang pekerjaan kepada belia terus dipelbagaikan bagi meningkatkan ekonomi kelompok ini.  Pada 14 Julai lalu, kerajaan melalui Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) telah menyampaikan bantuan berbentuk motosikal kepada 300 belia melalui inisiatif BIZRIDER300.

“Inisiatif ini dilaksanakan dengan kerjasama syarikat seperti Food Panda, iaitu satu bentuk perniagaan yang berorientasikan digital  bagi membuka banyak peluang pekerjaan kepada rakyat dengan melakukan penghantaran makanan dan keperluan harian.

“Program ini akan diperluaskan supaya lebih ramai belia yang menganggur mendapat peluang pekerjaan,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, seramai 42,097 wanita di Sabah menerima manfaat menerusi inisiatif Bantuan e-Kasih Dana Caruman i-SURI (BAIDURI) membabitkan peruntukan RM2.5 juta.

Katanya, bantuan ini melibatkan dana awal caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara one-off berjumlah RM60 seorang kepada wanita dalam kategori e-Kasih yang disasarkan.

“Inisiatif ini telah memberi peluang wanita e-Kasih mendapat manfaat sebanyak RM480 seorang daripada Kerajaan Persekutuan melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Pelaksanaan inisiatif ini tentunya memberi peluang kepada golongan wanita terutama sekali suri rumah untuk menceburi bidang perniagaan dan membantu mereka menikmati keselamatan sosial yang berkualiti selain meningkatkan keselamatan kewangan seperti yang dinikmati oleh ahli KWSP yang lain,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Juliah santuni anak-anak istimewa PPDK Tuaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya