HomeUtamaDUN Sabah : Dua RUU diluluskan

DUN Sabah : Dua RUU diluluskan

Read Time:2 Minute, 0 Second

KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan dua Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Peruntukan Diraja dan Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan (Saraan).

Kedua-dua RUU berkenaan dibentangkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan diluluskan sebulat suara pada persidangan DUN Sabah di sini.

Hajiji dalam ucapan pembentangan RUU mencadangkan dua usul berkaitan Enakmen Peruntukan Diraja (Pindaan) 2022 dan Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan (Saraan) (Pindaan) 2022.

Katanya, mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Mac lalu telah meluluskan pelarasan emolumen Yang di-Pertua Negeri Sabah yang meliputi saraan peribadi, elaun keraian dan elaun wilayah.

Tambahnya, Emolumen Yang di-Pertua Negeri Sabah ini tidak pernah disemak selama 19 tahun, iaitu kali terakhir semakan pada tahun 2003.

“Tempoh ini agak lama jika dibandingkan dengan emolumen Yang di-Pertua Negeri dari negeri lain, misalnya negeri Sarawak yang telahpun dibuat pelarasan pada tahun 2013.

“Justeru, adalah amat bertepatan emolumen Yang di-Pertua Negeri Sabah disemak semula dan diselaraskan mengikut kehendak semasa,” katanya.

Menurutnya, pelarasan emolumen ini adalah berpatutan dan wajar dengan taraf kedudukan Yang di-Pertua Negeri sebagai ketua Kerajaan Negeri, seiring dengan peranan penting dan tanggungjawab dalam pentadbiran negeri ini.

Dalam pada itu, bagi Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan (Saraan) (Pindaan) 2022 adalah merupakan Enakmen berkenaan saraan bagi anggota Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Speaker dan Timbalan Speaker DUN serta Anggota Pentadbiran negeri.

Hajiji berkata, RUU dicadangkan itu adalah bertujuan untuk meminda Enakmen tersebut bagi menyemak semula saraan ADUN, Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Undangan serta Anggota Pentadbiran negeri, supaya setara dengan saraan Ahli-Ahli Dewan Undangan dan Anggota-Anggota Pentadbiran negeri lain di Malaysia.

“Kali terakhir Enakmen ini dipinda bagi menyemak semula saraan Ahli-Ahli Dewan Undangan dan Anggota-Anggota Pentadbiran adalah pada tahun 2015.

“Seiring dengan keadaan semasa dan beban tugas Ahli-Ahli Dewan Undangan dan Anggota-Anggota Pentadbiran yang semakin berat dan mencabar serta keadaan fizikal negeri yang luas, maka sudah tiba masanya saraan ini disemak semula dan diselaraskan setimpal dengan usaha dan komitmen Ahli-Ahli Dewan Undangan dan Anggota-Anggota Pentadbiran,” katanya.

Tambahnya, pelarasan saraan yang dicadangkan melalui RUU ini adalah wajar dipertimbangkan memandangkan tanggungjawab berat yang dipikul oleh Ahli Dewan Undangan dan Anggota Pentadbiran negeri pada masa kini.

“Insha Allah pelarasan ini akan dapat meningkatkan peranan dan tanggungjawab semua Ahli Dewan Undangan dan Anggota Pentadbiran negeri dengan lebih berkesan lagi demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Tragedi Lemas di Pantai Bundusan: Dua Mangsa Ditemui Meninggal Dunia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular