DUN Sabah : Pegawai Daerah diberi kebenaran bekal maklumat pembangunan kepada ADUN bukan Kerajaan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 16 Second

KOTA KINABALU: Pegawai-Pegawai Daerah di setiap daerah di negeri ini diberi kebenaran untuk membekalkan maklumat pembangunan dan penggunaan tanah kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan Kerajaan yang memerlukan maklumat tersebut.

Perkara itu dinyatakan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ewon Benedick (UPKO-Kadamaian) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Ewon bertanyakan soalan asal samada kerajaan negeri bercadang untuk melibatkan ADUN-ADUN bukan kerajaan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah, Jawatankuasa Penggunaan Tanah Daerah dan Jawatankuas Pengurusan Bencana Daerah.

Jahid menjelaskan bahawa kerajaan negeri pada masa ini belum lagi membuat keputusan terhadap cadangan melibatkan ADUN-ADUN bukan kerajaan dalam ketiga-tiga jawatankuasa tersebut tetapi akan meneruskan penelitian ke atas cadangan yang dikemukakan oleh Ewon tersebut.

Dalam soalan tambahan, Ewon bertanya samada kerajaan boleh melaksanakan dasar atau arahan pentadbiran bagi membolehkan Pegawai-Pegawai Daerah membekalkan maklumat kepada Wakil-Wakil Rakyat bukan kerajaan.

“Di dalam Dewan ini, kita sama-sama meluluskan belanjawan tahunan dan belanjawan tambahan. Alangkah baiknya jika sokongan yang sama boleh kami berikan kepada kerajaan di peringkat daerah.

“Sementara kerajaan meneruskan penelitian ke atas cadangan melibatkan Wakil-Wakil Rakyat dalam ketiga-tiga jawatankuasa ini, adakah Kerajaan boleh mengeluarkan dasar atau arahan pentadbiran kepada pegawai-pegawai daerah untuk membekalkan maklumat kepada kami terutama berkaitan dengan pembangunan dan penggunaan tanah di kawasan diwakili?.

“Jika ini dibenarkan, maka saya percaya sebahagian besar soalan yang ingin dibangkitkan tidak perlu lagi dibawa ke sidang DUN kerana kita sudah mendapat maklumat tersebut di daerah,” kata Ewon.

Jahid kemudiannya menjawab bahawa kerajaan tiada halangan dan mengizinkan pegawai-pegawai daerah membekalkan maklumat yang diperlukan oleh Wakil-Wakil Rakyat bukan kerajaan berkaitan program pembangunan dan penggunaan tanah di kawasan diwakili masing-masing.

Beliau turut menyatakan bahawa Wakil-wakil Rakyat bukan kerajaan juga boleh mengadakan perjumpaan dengan pegawai daerah masing-masing untuk tujuan tersebut.

Dalam pada itu, Jahid ketika menjawab soalan tambahan Datuk Darell Leiking (WARISAN-Moyog) berkata, pihaknya mengesyorkan ADUN-ADUN yang ingin mendapatkan maklumat atau keperluan berkaitan pentadbiran daerah bolehlah bertemu dengan Pegawai Daerah di kawasan masing-masing.

“Di dalam tindakan-tindakan daerah khususnya pada kerajaan lalu, tindakan daerah itu dipengerusikan oleh ahli Yang Berhormat. Kita membuat sedikit sebanyak pembaikan selaras dengan arahan nombor satu Majlis Tindakan Negara di mana Pegawai Daerah harus mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Daerah.

“Pada masa ini, PPM mewakili Wakil Rakyat bukan kerajaan dalam mesyuarat Tindakan Daerah.  

“Justeru, wakil rakyat bukan Kerajaan boleh bertemu dengan Pegawai Daerah sekerap mungkin kerana mereka tidak mempunyai halangan untuk memberi kerjasama sepenuhnya apabila diperlukan oleh saudara-saudara atau ahli-ahli Yang Berhormat, walaupun bukan daripada pihak kerajaan,” katanya

Darell sebelum itu bertanyakan soalan adakah boleh ADUN pembangkang boleh bersama Kerajaan atau Majlis Tindakan Daerah untuk menyelesaikan masalah akar umbi.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *