Sabah Energy Bayar RM9 Juta dividen kepada Kerajaan Negeri

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 1 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menerima bayaran dividen sebanyak RM9 juta daripada Sabah Energy Corporation Sdn.Bhd. (SEC) bagi tahun kewangannya yang berakhir 31 Disember 2021.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyaksikan penyerahan dividen itu daripada Ketua Pegawai Eksekutif SEC, Datuk Harun Ismail kepada Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Mohd Sofian Alfian Nair di Bilik Danum, Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Sr Safar Untong, Pengerusi SEC, Datuk Anwar Ayuub @ Annuar Ayub dan Timbalannya, Hassan A. Gabi Pg.Amir.

Harun dalam taklimatnya kepada Hajiji berkata, SEC dan kumpulan syarikatnya mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM42.7 juta bagi tahun 2021. Keuntungan itu lebih rendah daripada prestasi kumpulan pada tahun 2020 sebanyak RM50.6 juta.

Katanya, keuntungan sebelum cukai anak syarikat milik penuh SEC, Asian Supply Base Sdn.Bhd. (ASB) bagi tahun 2021 menurun kepada RM17.7 juta, manakala keuntungan sebelum cukai SEC di peringkat syarikat ialah RM18.1 juta.

“Berbanding modal berbayar Kerajaan Negeri sebanyak RM299.9 juta, pelaburan semula keuntungan terkumpul selama ini telah menyebabkan Dana Pemegang Saham meningkat kepada lebih RM 1 bilion pada akhir 2021.

“Sebagai tambahan kepada peningkatan nilai kepada pemegang sahamnya, SEC juga telah membayar dividen berjumlah RM231 juta kepada Kerajaan sehingga kini”, katanya.

Beliau berkata, SEC kekal dengan fokus untuk mengukuhkan portfolio perniagaannya dan mengekalkan keuntungan kumpulan.

Menurutnya, SEC akan terus menyediakan bekalan tenaga yang lebih baik, lebih selamat, bersih, mampu milik dan boleh diakses oleh lebih ramai pemegang kepentingan dalam komuniti perniagaan di seluruh Sabah

Katanya, SEC telah memulakan projek tenaga boleh diperbaharui seperti Solar Skala Besar dan loji kuasa hidro sebagai sebahagian daripada usahanya menuju ke arah pelepasan karbon sifar bersih.

Beliau berkata, SEC dan kumpulan syarikatnya akan kekal berdaya tahan dalam menyediakan produk dan perkhidmatannya berdasarkan rancangan korporat tiga tahunnya untuk menjadi penyedia tenaga yang bertanggungjawab.

Sementara itu, Hajiji yang juga Menteri Kewangan Negeri turut menyaksikan penyerahan sumbangan tajaan Biasiswa Yayasan Telekom Malaysia Berhad (YTM) ” Future Leaders” bernilai RM600,000 kepada Tabung Pendidikan Negeri Sabah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Imri Mokhtar menyerahkan tajaan itu kepada Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Haji Dr.Mohd.Arifin Mohd.Arif yang juga Pengerusi Tabung Pendidikan Sabah.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Tabung Pendidikan Sabah, Datuk Ghulamhaidar Khan Bahadar, Ketua Pegawai Operasi TM, Ir.Ts.Azizi A Hadi, Naib Presiden Regulatory & Engagement TM, Meor Shahril Annuar Ahmad Rathuan dan Pengurus Besar Negeri TM Sabah, Dato’ Mohd Sainal Mohd.Amin.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *