Pelan Strategik tiga tahun USIA bantu jayakan hala tuju SMJ

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 21 Second

KOTA KINABALU: Pelan strategik tiga tahun Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) diyakini dapat membantu kerajaan dalam menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Ahmad berkata, pelan itu memfokuskan kepada pembangunan umat Islam khususnya generasi muda dalam bidang dakwah, pendidikan, sosial, ekonomi dan sebagainya.

“Pelan ini akan merangkumi dakwah, pendidikan, sosial, ekonomi dan pelbagai lagi bagi memberikan kesannya kepada masyarakat Islam di Sabah khususnya dalam membantu kerajaan membentuk generasi muda yang mempunyai ketahanan diri, moral dan integriti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu di sini semalam.

Sapawi berkata, kunjungan itu bertujuan bagi memperkenalkan barisan Ahli Majlis Tertinggi USIA Sesi 2022/2024 serta mendapatkan pandangan Tun Juhar berkaitan kegiatan dakwah dalam mengimarahkan syiar Islam di Sabah.

“Pertubuhan ini merupakan satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang penuh bersejarah yang ditubuhkan sejak 1969.

“NGO Islam tertua ini turut mempunyai bangunan sendiri yang dibina pada tahun 1972 dan ini menunjukkan bahawa USIA telahpun bergerak sebagai pertubuhan Islam yang mempunyai jasa dan khidmat yang paling besar kepada komuniti Islam di negeri ini,” katanya.

Katanya, barisan kepimpinan USIA pada kali ini terdiri daripada mereka yang berpengalaman dan mempunyai pelbagai latar belakang termasuk golongan muda.

“Saya berharap agar barisan kepimpinan yang baharu menggunakan wadah ini untuk bergerak sebagai satu pasukan dalam mengendali perancangan pelan strategik tiga tahun USIA,” katanya.

Turut serta pada kunjungan tersebut, Timbalan YDP USIA, Abdul Hakim Gulam Hassan; Naib-naib YDP USIA, Madaile Basri dan Dr. Suhaili Riman; Ketua Wanita USIA, Datuk Siti Aminah Aching serta Ketua Penerangan USIA, Datuk Abdullah Hussin.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *