KOTA KINABALU : Lembaga Koko Malaysia (LKM) melancarkan empat produk coklat kesihatan hasil penyelidikan LKM yang berpotensi untuk dikomersilkan oleh industri.
Antara produk coklat yang dilancarkan adalah Keto Classic Dark Chocolate, Keto Coffee Dark Chocolate, Keto Ginger Dark Chocolate dan Pre & Probiotic Chocolate.
Produk keto coklat gelap adalah coklat tanpa gula yang mengandungi 80 peratus kandungan koko dan pemanis gentian yang dikeluarkan dalam tiga perisa iaitu klasik, kopi Arabica dan halia.
Coklat keto tidak meningkatkan kandungan gula dalam badan dan sesuai dimakan oleh orang yang mengawal pemakanan untuk kesihatan.
Manakala produk coklat prebiotik adalah baik untuk sistem pencernaan dan meningkatkan imunisasi badan.
Produk coklat itu dilancarkan sempena Hari Inovasi LKM 2022 yang disempurkan Pengerusi Pengelola LKM Rahimah Majid di Pusat Penyelidikan Bioteknologi Koko, Pusat Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) di sini semalam.
Rahimah dalam ucapan perasmian berkata, LKM merupakan sebuah agensi kerajaan yang berfungsi menjalankan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D).
Justeru katanya, LKM mempunyai tenaga pakar penyelidik serta kemudahan makmal penyelidikan di enam buah pusat di seluruh Malaysia.
“Oleh itu, Hari Inovasi adalah satu program yang memberi peluang kepada LKM untuk menyumbang atau berkongsi maklumat teknologi dan kepakaran kepada orang ramai khususnya generasi muda dan golongan pelajar.
“Konsep ‘Hari Terbuka’ sempena Hari Inovasi ini adalah konsep yang sesuai untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk melawat kemudahan makmal dan melihat aktiviti-aktiviti yang dijalankan.
“Saya difahamkan bahawa Pusat Penyelidikan Bioktenologi Koko di KKIP ini, sememangnya sering menerima kunjungan terutama oleh pelajar-pelajar sekolah. Pada Hari Inovasi selama tiga hari ini, bilangan pengunjung pelajar-pelajar sekolah adalah dianggarkan seramai lebih 1,000 orang,” katanya.
Sementara itu, Rahimah berkata, inovasi adalah suatu proses yang meningkatkan nilai suatu produk atau sumber daya yang sedia ada, sehingga memiliki nilai yang lebih baik.
Katanya, inovasi boleh dilaksanakan oleh semua pihak yang mempunyai idea dan kefahaman tentang bagaimana meningkatkan nilai sesuatu.
“Inovasi adalah penting untuk memudahkan proses, meningkatkan nilai produk atau variasi produk serta mencari penyelesaian sesuatu isu. R&D pula adalah untuk mendapatkan maklumat saintifik dan kajian untuk membangunkan teknologi atau produk.
“Kini kebanyakkan negara telah menggunakan aplikasi automasi dan revolusi industri 4.0 (IR4.0) serta IOT.
“Oleh itu LKM turut mengunakan teknologi terkini ini untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan teknologi atau proses khususnya dalam sektor tanaman koko bagi mencapai produktiviti hasil tinggi. Inilah antara teknologi yang digunakan dalam tanaman pintar,” katanya.