Surat Tommy Thomas kepada Kesultanan Sulu meletakkan kedudukan negara sukar

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 44 Second

PETALING JAYA: Dua peguam Sabah berkata bekas peguam negara, Tommy Thomas meletakkan negara pada kedudukan sangat sukar susulan pengakuan bahawa negara berhutang kepada waris Kesultanan Sulu, dalam suratnya, pada 2019.

Presiden Persatuan Undang-Undang Sabah Roger Chin, berkata pengakuan Thomas itu menjadikan Malaysia tersepit dalam usaha mempertahankan diri daripada tuntutan Sulu.

“Itu adalah pengakuan (berhutang wang)…pastinya menjejaskan (kepada Malaysia),” katanya menurut The Star.

Katanya, dalam undang-undang, pengakuan berhutang wang seperti itu kebiasaannya membawa kesan sangat buruk.

Menurut laporan FMT, dalam surat dihantar kepada peguam waris Sulu, pada 2019, Thomas mengepilkan salinan penghakiman 1939 oleh Mahkamah Tinggi Borneo Utara, dan berkata, Malaysia tidak mempertikai identiti individu dan hak mereka untuk dibayar.

Thomas turut menyatakan kekesalannya pembayaran kepada waris dihentikan, pada 2013, dan menambah Malaysia “kembali bersedia dan sanggup” membayar kepada waris semua tunggakan, bermula 2013 hingga 2019, berjumlah RM48,300.

Chin berkata, tawaran itu tidak kelihatan dibuat “tanpa prejudis”, bermakna ia boleh digunakan sebagai keterangan di mahkamah tanpa persetujuan pihak berkenaan.

Justeru, kandungan surat Thomas secara jelas “dipercayai” untuk digunakan dalam tuntutan Sulu dalam timbang tara terhadap Malaysia di Madrid dan Paris, kata Chin.

Katanya, Thomas sepatutnya mengambil pendirian mempertahankan Malaysia daripada tuntutan timbang tara di Sepanyol, sebaliknya hanya sekadar tidak mengiktiraf bidang kuasa mahkamah negara itu dalam tuntutan timbang tara Sulu.

Beliau juga menggesa Jabatan Peguam Negara memberi penjelasan mengapa pembayaran tahunan RM5,300 kepada waris Sulu dihentikan sejak 2013 selepas pencerobohan Lahad Datu.

Dalam pada itu, Presiden SAPP Yong Teck Lee, berkata Thomas pada dasarnya mengakui surat ikatan Sulu 1878 masih sah dan bahawa Malaysia telah “tersilap dari segi undang-undang menghentikan pembayaran”, selepas 2013.

Yong yang juga peguam, berkata memoir Thomas, “My Story: Justice in the Wilderness”, yang mana menghimpunkan perkara berkenaan, digunakan sebagai keterangan peguam mewakili waris Sulu.

Beliau turut mempersoalkan sekiranya Thomas ada membuat konsultasi dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Liew Vui Keong ketika itu, sebelum memberi maklum balas kepada surat tuntutan waris Sulu. Sekiranya tidak, beliau sudah melakukan pengabaian paling teruk, kata Yong.

Katanya, adalah lebih mengejutkan sekiranya Liew tidak mengetahui berhubung surat tuntutan berkenaan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *