HomeSukanDua gol Amri Yahyah bantu Sabah FC raih tiga mata

Dua gol Amri Yahyah bantu Sabah FC raih tiga mata

Read Time:1 Minute, 40 Second

KOTA KINABALU : Bermain dalam keadaan padang yang basah tidak menjadi halangan untuk Mohd Amri Yahyah meledak dua gol sekali gus membantu Sabah FC bangkit dari ketinggalan seterusnya menewaskan Melaka United FC (MUFC) 2-1 pada saingan Liga Super di Stadium Likas malam tadi.

Kedua-dua gol yang dijaringkan Amri pada minit ke-65 dan ke-90 itu turut meleburkan hasrat pasukan pelawat sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata selepas mendahului perlawanan 1-0 pada separuh masa pertama.

Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee mengakui tiada sebarang strategi yang diatur untuk para pemainnya bangkit semula pada babak kedua perlawanan.

“Bagi saya, para pemain telah menunjukkan kesungguhan sekali lagi apabila kita ketinggalan. Ini kali ketiga kita kembali namun kita harus memperkemaskan lagi terutama tidak harus ketinggalan.

“Sikap positif, sikap tidak mengalah para pemain harus diberi pujian sama ada yang bermain dari awal permainan atau sesiapa yang mengantikan pemain terutama Amri (Yahyah); Irfan (Fazail); Farhan (Roslan) dan Hanafie (Tokyo).

“Mereka memberikan persembahan yang cukup baik dan ini memberi kita kelebihan apabila pada minit terakhir dengan keadaan padang tidak begitu elok kita bejaya mengasak dan mendapatkan gol kemenangan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu semalam.

Dalam pada itu, Kim Swee berkata, bermain lima perlawanan dalam tempoh 15 hari turut menjadi antara faktor para pemain mengalami keletihan.

“Meskipun keletihan, namun mereka telah menunjukkan kesungguhan dan akhirnya kita mampu mendapatkan tiga mata,” katanya.

Terdahulu, Amri yang baru dimasukkan pada separuh masa kedua menggantikan Stuart John Wilkin berjaya mencipta jaringan pertama pada minit ke-65 hasil hantaran Alto Linus, manakala jaringan keduanya dicipta melalui hantaran Muhammad Farhan Roslan.

Melaka sebelum itu mengejutkan tuan rumah apabila berjaya menjaringkan gol tunggal melalui pemain importnya, Ifedayo Olusegun yang membuat susulan selepas bola ditepis Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-23.

Perlawanan itu turut menyaksikan dua pemain iaitu Ahmad Haziq dari Melaka dan Rawilson Batuil dari Sabah FC dilayangkan kad merah kerana bermain secara agresif.

Sabah FC akan bertemu Sarawak United FC di Stadium Likas pada 9 Ogos ini.

RELATED ARTICLES
Sukan

Lebih 800 atlet sertai MASUM Fasa Satu 2024

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya