JAKMAS,PNRF UMS adakan CSR di SK Tambulaong Tuaran

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 5 Second

KOTA KINABALU: Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Non Residen (NR) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Sekolah Kebangsaan (SK) Tambulaong, di sini, baru-baru ini.

Program dengan kerjasama Pusat Pengurusan Non Residen dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF) UMS itu dikendalikan Pelajar NR dengan diketuai Yang Dipertua JAKMAS NR, Muazam Muanam @ Shafie.

Menurut Muazam, program sehari itu antara lain bertujuan menambah pengetahuan dan pengalaman pelajar UMS berinteraksi dengan masyarakat setempat.

“Di samping itu, program ini juga menekankan kepentingan ilmu pengetahuan dan pendidikan melalui pelbagai medium dalam kehidupan.

“Ia seiring dengan Bidang Keberhasilan Utama (KRA) UMS yang pertama iaitu memberi pengalaman berkualiti untuk pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.Program tersebut turut dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan sekolah SK Tambulaong.

Muazam berkata, program itu pada masa yang sama dilaksanakan untuk memupuk semangat sukarelawan dalam kalangan mahasiswa.

“Ia juga merupakan batu asas kepada warganegara prihatin, bertanggungjawab, serta saling bantu membantu tanpa mengira bangsa dan agama.

“Kita juga sangat berterima kasih atas sambutan mesra dan ceria daripada pelajar, guru-guru dan PIBG sekolah,” katanya.

Bertemakan ‘Siswa Prihatin, Masih Ada yang Sayang’, program itu turut dihadiri Guru Besar SK Tambulaong Noraida Lamsari, Pengarah PNRF UMS Hasmi Hashim, dan Yang Dipertua PIBG sekolah berkenaan, Edwin Lumbating.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *