Petugas kesihatan diberi penghormatan sertai sambutan Hari Pahlawan

Read Time:1 Minute, 30 Second

KOTA KINABALU : Petugas kesihatan diberi penghormatan menjadi antara kontinjen barisan hadapan pada sambutan Hari Pahlawan peringkat negeri Sabah di sini hari ini.

Sambutan yang berlangsung di Padang Merdeka Kota Kinabalu itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Majlis yang turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor itu diadakan semula selepas dua tahun negara berdepan dengan pandemik COVID-19 yang kini telah beralih ke fasa endemik.

Acara itu diadakan serentak dengan pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri Sabah.

Orang ramai yang hadir pada sambutan itu turut dipersembahkan dengan pantomim oleh Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) mengenai peristiwa konfrantasi Indonesia / Malaysia pada 29 Disember 1963 di Kalabakan.

Pantomim itu mengisahkan mengenai pertempuran yang berlaku antara Anggota Tentera dari Batalion Ketiga RAMD dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) pada 29 Disember 1963.

Pertempuran itu berlaku sebagai tindak balas Indonesia yang tidak bersetuju dengan kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan Malaysia dan ianya berlaku di Pos Kalabakan yang baru sahaja diduduki oleh Platun Nombor 1, Kompeni A, 3 RAMD.

Dalam pertempuran ini, seorang pegawai dan tujuh orang anggota Lain-lain Pangkat telah terkorban dari pihak Malaysia, manakala seorang anggota TNI telah terkorban.

Peristiwa ini menjadi satu titik hitam dalam sejarah Tentera Darat Malaysia dan Negeri Sabah.

Sifat kepahlawanan dan tidak mudah mengalah yang dimiliki oleh semua warga tentera dalam mempertahankan kedaulatan negara wajar dijadikan pedoman dan ikutan untuk kita kekal sebagai sebuah negara berdaulat

Tun Juhar yang diiringi Hajiji dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah yang juga pengerusi jawatankuasa sambutan Datuk Seri Masidi Manjun kemudian melawat gerai pameran di sekitar Padang Merdeka.

Antara agensi yang terlibat pada pameran itu ada Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM); Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan beberapa agensi penguatkuasaan lain.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.