HomeUtama15 kenderaan sertai KMKM 2022, jelajah seluruh Sabah

15 kenderaan sertai KMKM 2022, jelajah seluruh Sabah

Read Time:1 Minute, 39 Second

KOTA KINABALU : Sebanyak 15 buah kenderaan Jabatan Penerangan (JaPEN) Sabah dan beberapa jabatan serta agensi Kerajaan lain menyertai Konvoi Merdeka Keluarga Malaysia (KMKM) 2022.

Pelepasan Konvoi KMKM 2022 telah disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di sekitar perkarangan Padang Merdeka yang bermula kira-kira jam 10 pagi tadi.

Tun Juhar turut diiringi Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Sr Safar Untong dan Datuk Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip.

Konvoi yang diiringi kenderaan pelbagai guna (MPV) Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai kenderaan pengiring akan menjelajah ke seluruh daerah di Sabah bagi menguar-uarkan sambutan Bulan Kebangsaan serta Kempen Kibar Jalur Gemilang dengan tema ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’.

Dalam pada itu, Masidi berkata, program tersebut mengisi ruang sambutan bulan kebangsaan dan kemerdekaan sekaligus menggalakkan kempen kibar jalur gemilang.

“Sambutan yang dibuat bersekali dengan Sambutan Hari Pahlawan menambah seri dengan menyuntik semangat nasionalisme yang lebih berkobar dalam diri rakyat dengan mengingati pengorbanan para tentera.

“Diharapkan rakyat menyambut baik usaha mengibarkan bendera kebangsaan bukan hanya di tempat kerja, bahkan di premis kediaman dan sebagainya.

“Walaupun kita berhadapan dengan kegawatan ekonomi, demi mempamerkan rasa cinta kepada negara dan negeri, diharapkan rakyat dapat membeli sekurang-kurangnya bendera kecil untuk dikibarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Sambutan Hari Pahlawan dan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah.

Selain Sabah, Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri juga dilaksanakan serentak di Perak dan Selangor.

Terdahulu, Tun Juhar menyerahkan Jalur Gemilang kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Setiausaha Persekutuan Sabah, Panglima 5 Divisyen, Panglima Armada Timur, Panglima Udara 2, Pesuruhjaya Polis Kontinjen Sabah, Laksamana Muda Maritim, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Majlis Belia Sabah, Renjer Taman-Taman Sabah dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tionghua Kota Kinabalu yang mewakili semua Dewan Perniagaan.

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah : KEPKAS, syarikat penerbangan bincang agar dapat tetapkan harga...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya