KOTA KINABALU : Meskipun mengalami kecederaan pada bahagian buku lali namun ianya bukan halangan untuk seorang pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Tenghilan Tuaran datang menyaksikan perlawanan Sabah FC menentang Melaka United FC (MUFC) bagi aksi Liga Super di Stadium Likas di sini semalam.
Ahmad Raihan Rijahan,10, yang ditemani ayahnya Rijahan Aliaprah,43, tetap gigih dan bersemangat untuk menyaksikan perlawanan itu meskipun terpaksa menaiki beberapa anak tangga stadium dalam keadaan kaki yang berbalut.
Ayahnya, Rijahan berkata, ia merupakan pengalaman pertama anaknya datang Ke stadium bagi menyaksikan aksi perlawanan bola sepak dan mula membeli tiket perlawanan pada 29 Ogos yang lalu secara atas talian.
“Anak saya mengalami kecederaan selepas tersilap langkah seterusnya jatuh ketika membuat aksi silat di rumah pada petang Sabtu sehari sebelum berlangsungnya perlawanan bola sepak.
“Pada mulanya saya bercadang untuk membatalkan niat ke stadium disebabkan melihat kepada keupayaan anak yang hampir tidak boleh berjalan sehingga perlu dibantu untuk bergerak.
“Namun dia tetap menguatkan semangat apabila dia sendiri membalut bahagian kaki yang cedera terutama pada buku lali selain turut menyapu ubat,” katanya ketika dihubungi Sabah Media di sini hari ini.
Rijahan berkata, anaknya juga sering meluahkan keinginan untuk datang ke stadium sebelum ini selepas ayahnya kerap menyaksikan perlawanan bola sepak.
“Setiap kali perlawanan membabitkan Sabah FC, saya pasti akan turun menyaksikan dan anak saya juga sudah lama menyuarakan hasrat untuk ikut sama.
“Bagi memberi sokongan dan dorongan kepadanya saya membelikan dia tiket secara atas talian bersama dengan sehelai jersi Sabah untuk dipakai ketika itu.
“Anak saya juga berasa bangga dan seronok apabila dapat menyaksikan perlawanan bola sepak secara langsung selain melihat gelagat penyokong yang sentiasa bersorak,”katanya.
Terdahulu, video anaknya yang menaiki anak tangga Stadium Likas tular di beberapa media sosial sejak petang tadi.