Juragan berenang enam jam minta bantuan, bot hampir karam

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 3 Second

SEMPORNA: Seorang juragan bot terpaksa berenang dan terapung kira-kira enam jam semata-mata mahu mendapatkan pertolongan selepas bot dinaikinya bersama 11 individu hampir karam di Pulau Mantabuan, Semporna.

Menurut laporan Astro Awani, kejadian berlaku pada jam 4.30 petang Ahad itu apabila bot dinaiki mereka dalam perjalanan ke bandar Semporna dari negara jiran.

Bagaimanapun, hampir enam jam kesemua mereka berjaya diselamatkan pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) pada jam 11.14 malam.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah, siasatan mendapati, kesemua mangsa berusia tiga hingga 79 tahun itu yang mana lima daripada mereka merupakan warga asing.

Katanya, siasatan juga mendapati bot yang dinaiki mangsa dipercayai terlanggar kayu yang terapung menyebabkannya bocor lalu dimasuki air.

“Juragan dan penumpang bertindak mengikat tong minyak kosong di bot berkenaan bagi mengelak daripada tenggelam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, kesemua mangsa terbabit kemudiannya diserahkan kepada Pasukan Polis Marin (PPM) dan setakat ini juragan serta empat warga asing yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri ditahan untuk tindakan lanjut.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 280 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen,” katanya.

Farhan menasihatkan supaya juragan sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini dari berlaku. – AWANI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *