Rebut peluang isi 49,243 kekosongan jawatan di Sabah – Yakub

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 6 Second

TAWAU : Sebanyak 49,243 kekosongan jawatan di negeri ini perlu diisi oleh golongan pencari kerja berdasarkan rekod yang diperolehi menerusi Portal MyFutureJobs bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan berkata, dalam tempoh itu juga seramai 24,415 orang merupakan pencari kerja yang aktif.

Katanya, bilangan penempatan semula pekerjaan di Sabah setakat bulan Julai lalu adalah sebanyak 9,215 penempatan semula pekerjaan.

“Manakala bagi portal pekerjaan milik penuh Kerajaan Negeri iaitu Sabah Jobs Portal, sejumlah 4,060 orang pencari kerja telah berdaftar manakala majikan pula sebanyak 200 majikan telah berdaftar dengan portal ini selain menawarkan 284 kekosongan jawatan sehingga 31 Julai lalu.

“Pada dasarnya, Laporan Pengoperasian Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO setakat Julai lalu, seramai 852 orang penduduk Sabah telah dilaporkan kehilangan pekerjaan. Masalah kehilangan pekerjaan inilah, sebenarnya yang mendorong Kementerian ini untuk terus mengambil pelbagai inisiatif mencipta peluang dan ruang pekerjaan di peringkat daerah dan juga negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Kerjaya Perdana Peringkat Daerah Tawau di sini hari ini.

Yakub berkata, karnival kerjaya yang diadakan di daerah ini merupakan yang kelima dianjurkan Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) selepas turut diadakan di Sandakan; Kota Kinabalu; Semporna dan Kota Belud.

Katanya, karnival kerjaya yang diadakan di Sandakan pada 23 Januari lalu berjaya menarik kehadiran seramai 529 orang pencari kerja dan mendapat pekerjaan seramai 284 orang mewakili 54 peratus.

“Selain itu, Career Gig SMJ 2022 yang telah dijalankan di SICC, Kota Kinabalu pada 29 Mac dengan kehadiran seramai 1,255 orang pencari kerja dan berjaya mendapat pekerjaan adalah seramai 492 orang mewakil 39 peratus.

“Bagi daerah Semporna yang diadakan pada 28 Mei telah dihadiri seramai 311 orang pencari kerja dan berjaya mendapat pekerjaan seramai 144 orang mewakili 46 peratus seterusnya di Kota Belud pada 25 Jun dengan kehadiran pencari kerja seramai 237 orang dan yang memperolehi pekerjaan adalah seramai 63 orang mewakili 27 peratus,” katanya.

Tambahnya, hasil daripada penganjuran empat siri karnival tersebut, sebanyak 13,313 kekosongan jawatan telah ditawarkan kepada pencari kerja.

“Namun demikian, hanya 983 orang pencari kerja telah mendapat pekerjaan iaitu hanya mewakili tujuh peratus sahaja daripada tawaran kekosongan jawatan yang sedia ada.

“Sesungguhnya banyak usaha telah pun dilakukan pihak kerajaan, namun kita masih belum berpuas hati dengan sambutan di kalangan pencari kerja.

“Justeru, kita berharap kerjasama daripada pihak majikan dan industri pada masa akan datang sama ada di Sarawak ataupun Semenanjung Malaysia dapat dipertingkatkan dan diperluaskan lagi untuk sama-sama bagi menangani masalah pengangguran dan kehilangan pekerjaan di Negeri Sabah,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *